Hadzlihady Hassan


Georgetown: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana dituduh menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Burma minggu lalu.

Tertuduh, Nazri Che Lah, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Nazri yang bekerja sebagai krew kapal didakwa menunggang motosikal secara melulu hingga menyebabkan kematian pejalan kaki, Foo Swee Wah, 58, di Jalan Burma, jam 10.30, 6 April lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dengan denda minimum RM5,000 atau maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin, memohon mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta menggantung lesen memandunya.

Mohamad Amin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menggantung lesen memandunya, selain menetapkan 29 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 1:21 PM
Anggota polis trafik mengiringi Nazri Che Lah, 44, (tengah) untuk dituduh di Mahkamah Majistret Georgetown, yang menghadapi tuduhan menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Burma, minggu lalu. - Foto DANIAL SAAD
Anggota polis trafik mengiringi Nazri Che Lah, 44, (tengah) untuk dituduh di Mahkamah Majistret Georgetown, yang menghadapi tuduhan menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Burma, minggu lalu. - Foto DANIAL SAAD