Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali; Norul Awatif Romli; Ahmad Ismail

Baling: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggesa orang ramai memberi kerjasama menyalurkan maklumat kegiatan penyeludupan rokok kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, ia berikutan penjualan rokok seludup bukan saja merugikan kerajaan daripada sudut kutipan cukai, malah memberi risiko kesihatan kerana status kandungannya yang diragui.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan membantu pihak berkuasa terutama kastam supaya tindakan segera dapat dijalankan.

"Kita tidak mahu negara dihujani barangan seludup kerana status barangan terbabit yang tidak menentu selain kandungannya berisiko memudaratkan kesihatan," katanya ketika berucap sempena perasmian Kempen Mencegah Penyeludupan dan Malam Cinta Rasul di Sekolah Kebangsaan Tiak, Kupang, di sini, bulan lalu.

Hadir sama, Pengarah Kastam Kedah Abdul Latif Abd Kadir.

Pada program berkenaan, JKDM Kedah turut melupuskan sejumlah rokok seludup menggunakan mesin penghancur khas sebagai simbolik memerangi penjualannya.

Ditanya mengenai kegiatan penyeludupan di sempadan yang menjadi antara punca kemasukan rokok seludup, Khazali berkata, pihaknya yakin beberapa inisiatif yang dijalankan mampu membanteras kegiatan itu daripada terus merebak.

"Kita ada Op Pacak dan Op Outlet yang menumpukan kepada usaha pemeriksaan serta pemantauan terhadap kegiatan penyeludupan. Justeru, kita yakin kaedah itu dapat membantu dari semasa ke semasa," katanya.

Khazali berkata, pihaknya mengesan 16 kes membabitkan rokok seludup dengan rampasan 83 juta batang rokok bernilai RM16.5 juta, selain nilai cukai RM44 juta di negeri ini sejak Januari lalu.

Katanya, rampasan itu adalah sebahagian daripada 139 keseluruhan kes yang dikesan JKDM Kedah sepanjang tempoh sama membabitkan nilai rampasan hampir RM50 juta.

Sementara itu, di Segamat, Johor, JKDM merampas 158 kotak rokok seludup berjenama U2, John dan Canyon bernilai RM248 dalam pemeriksaan di dua kedai runcit di Jalan Paya Pulai, di sini, 12 Mei.

Dua pekerja kedai berusia antara 20 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Difahamkan, pemilik kedai runcit menyorok rokok seludup untuk dijual kepada pelanggan tetap mereka dalam jumlah yang kecil kerana bimbang dihidu pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 4:58 PM