GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Sebuah rumah di Jalan Gombak, di sini, diserbu sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas didapati menyimpan pelbagai jenis kretek dan rokok putih seludup, akhir bulan lalu.

Semua rokok seludup berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai.

Menurut sumber, rumah itu dijadikan tempat simpanan rokok seludup berkenaan yang dibawa masuk sindiket dari luar Lembah Klang.

Sumber berkata, berdasarkan jenama rokok dirampas, ia dipercayai diseludup dari negara jiran.

Katanya, siasatan lanjut mendapati rokok berkenaan untuk pasaran di daerah Cheras, Selayang, Damansara, Petaling Jaya dan Kepong.

"Kejayaan rampasan in adalah hasil risikan dan maklumat awam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan penyeludupan ini dapat dibanteras dan seterusnya menyelamatkan ketirisan hasil kerajaan.

Untuk rekod, harga rokok seludup juga turut naik antara RM1 hingga RM3 berikutan kesukaran mendapatkan bekalan hasil operasi berterusan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 4:52 PM