ZAZULI, gambar fail. FOTO  NSTP
ZAZULI, gambar fail. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ubah suai kenderaan sebelum disembunyikan rokok seludup di dalam ruangan khas. Itu antara taktik sindiket penyeludupan rokok bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika melalui pemeriksaan kastam di pintu sempadan negara.

Malah sindiket penyeludupan rokok ini turut membuat pengikraran palsu dan diseludup dengan dagangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun tindakan berkesan hasil penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tempoh tiga tahun ini berjaya merampas lebih 794 juta batang rokok dengan anggaran nilai dan cukai sebanyak RM587 juta.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Zazuli Johan berkata, walaupun pelbagai taktik digunakan sindiket termasuk mengubah suai kenderaan bagi membolehkan rokok seludup dibawa masuk namun hasil pengalaman dan kecekapan JKDM berjaya melumpuhkan penyeludupan rokok terbabit.

Menurutnya, bagi tempoh tiga tahun ini sehingga Jun lalu, sebanyak 794,471,117 batang rokok seludup dirampas membabitkan nilai anggaran termasuk cukai sebanyak RM587,908,626.81.

"Ia hasil aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pegawai dan anggota JKDM yang dilihat memberi impak berkesan dalam membanteras penyeludupan rokok.

"Bagi tempoh enam bulan tahun ini sahaja, sebanyak 97,205,218 batang rokok seludup berjaya dirampas dengan anggaran nilai dan cukai sebanyak RM80,460,439.16 manakala," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Zazuli berkata, modus Operandi berkaitan kegiatan penyeludupan lebih tertumpu kepada pengikraran palsu dan ia diseludup dengan dagangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Selain itu, terdapat juga modus operandi di mana rokok disembunyikan pada ruangan yang diubahsuai pada kenderaan yang digunakan untuk tujuan penyeludupan rokok.

"Keberkesanan operasi-operasi penguatkuasaan ini juga adalah hasil daripada penyaluran dan perkongsian maklumat daripada orang awam," katanya.

Beliau berkata, Justeru JKDM menyeru masyarakat awam terus memberikan kerjasama untuk membanteras aktiviti aktiviti penyeludupan yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 3:26 PM