ANGGOTA penguat kuasa merampas rokok tak sah daripada peniaga.
ANGGOTA penguat kuasa merampas rokok tak sah daripada peniaga.
Rudy Syareme Sheriffudin dan Mohd Hasbi Sidek

Georgetown: Kekerapan serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Ops Outlet untuk membanteras kegiatan penjualan rokok seludup menyebabkan peniaga kini menggunakan pelbagai taktik menyorokkan bahan larangan import itu dengan pelbagai cara, malah ia hanya dijual untuk pelanggan tertentu saja.

Ini terbukti dalam serbuan di bandar ini petang kelmarin apabila seorang peniaga gagal menyembunyikan rokok seludup di rak buku, majalah dan surat khabar di premisnya di Jalan Burma, di sini, kerana ia disedari anggota penguat kuasa JKDM.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, pihak berkuasa menemui 11 karton rokok seludup pelbagai jenis membabitkan duti dan cukai berjumlah RM1,120.59.

Tiga pegawai JKDM yang memeriksa kedai runcit itu pada mulanya tidak menemui apa-apa, namun sebaik memeriksa rak buku, majalah dan surat khabar, mereka menemui 11 karton pelbagai jenis rokok seludup di dalam sebuah kotak dengan nilai sebanyak RM176. Berikutan itu, peniaga lelaki berusia 40-an ditahan.

Di Johor Bahru, seorang penjaga kaunter sebuah kedai runcit gagal menyembunyikan kegelisahannya sejurus menyedari kehadiran anggota JKDM yang menjalankan pemeriksaan di premis di Jalan Perlaluan Makmur 72, Taman Damai Jaya, Skudai.

Lelaki berusia 41 tahun itu yang pada mulanya asyik melayan pelanggan di kaunter tiba-tiba meminta kebenaran anggota kastam untuk ke tandas.

Melihat keadaan lelaki itu, anggota kastam membuat pemeriksaan lanjut dan menemui 80 peket rokok putih dan kretek dalam sebuah kotak di bawah rak sayur-sayuran di hadapan premis berkenaan.

Antara rokok seludup yang dirampas berjenama NYX, Supernova, Canyon, Gudang Garam, Djarum Super, L.A, John Super, Premium dan Wismilak bernilai RM250.

Lelaki warga asing itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Di Banting, Selangor, JKDM merampas 66 peket rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai RM250 dalam satu serbuan di sebuah kedai runcit di Taman Banting, di sini, kelmarin.

Antara jenama rokok dirampas dalam Op Outlet kira-kira jam 4.30 petang itu ialah Canyon, John, Luffman, Pine, Gudang Garam Surya dan Nusantara.

Seorang pekerja premis perniagaan ditahan mengikut Seksyen 135 (1) (D) 1967 kerana memiliki barang larangan.

Di Alor Setar, Kedah pula, dua premis diserbu masing-masing di Taman Uda dan Taman Bidara. Di Taman Uda, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan dan penguat kuasa JKDM merampas sejumlah rokok seludup jenama Suria, Gudang Garam dan John bernilai RM250.

Di Taman Bidara, sejumlah rokok jenama John bernilai RM150 ditemui di luar premis perniagaan dipercayai dibuang peniaga bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pada tahun ini, JKDM melancarkan Ops Outlet dengan kempen Laporkan Rokok dan Arak Seludup supaya orang ramai dapat melaporkan sebarang kejadian membeli atau menjual rokok seludup kepada hotline 1800 88 8855.

Pendekatan membabitkan masyarakat dan pengguna itu berkesan bagi membanteras penyelewengan dalam kalangan peruncit atau aktiviti penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:00 AM