PEGAWAI kastam merampas rokok seludup yang dipamerkan di kaunter.
PEGAWAI kastam merampas rokok seludup yang dipamerkan di kaunter.
Oleh Amir Abd Hamid dan Azma Razana Johari

Kuala Lumpur: Walaupun sambutan Aidilfitri masih terasa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperhebatkan operasi termasuk menangkap suspek dalam rangkaian penyeludupan rokok dan arak menerusi Op Outlet 2.0 Rokok dan Arak Seludup.

Bermula Isnin hingga Rabu lalu, seramai 11 individu ditahan dalam serbuan berasingan di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di ibu negara, lima peruncit termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan selain sejumlah rokok seludup jenama John, Luffman, Canyon dan U2 ditemui di beberapa lokasi pada Isnin lalu.

Dalam serbuan di Kuching, Sarawak kelmarin, JKDM menahan seorang wanita tempatan selepas menemui pelbagai jenama rokok seludup seperti Era, Parkway, D-Gi, Luffman dan Vess di premis wanita itu.

Rokok yang dijual wanita itu dipercayai mengandungi berkali-kali ganda kimia berbahaya berbanding yang dibenarkan kerajaan untuk pengilangan bahan tembakau.

Di Nibong Tebal, Pulau Pinang, seorang penjaga sebuah kedai runcit di Taman Jawi Jaya tergamam apabila diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa JKDM negeri kerana menjual rokok seludup, petang Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, pihak berkuasa menemui 300 batang rokok yang disorokkan di bawah kaunter.

Serbuan yang dibuat selepas mendapat maklumat orang awam itu berhasil mendapatkan nilai rampasan berjumlah RM200.

Lelaki yang bekerja sebagai penjaga kedai berusia 30-an itu memberi kerjasama kepada JKDM sebelum pemeriksaan lanjut pihak berkuasa menemui rokok seludup jenama Tex yang disorokkan di bawah kaunter pembayaran.

Penjaga kedai itu diminta menghubungi majikannya sebelum pemilik kedai runcit itu ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, empat lagi peruncit ditahan dalam serbuan berasingan masing-masing seorang di Kedah, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 8:20 AM