ROKOK seludup yang disembunyikan dalam periuk besar.
ROKOK seludup yang disembunyikan dalam periuk besar.
Oleh Abd Rahman Adam dan Mohd Khidir Zakaria

Kuching: Sebuah restoran di Jalan Ang Cheng Hoe, di sini, yang menjadi lokasi popular untuk mendapatkan rokok seludup diserbu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, kelmarin.

Dalam serbuan jam 2 petang sebanyak 10 peket rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM17.40 dengan jumlah cukai RM114.98 dirampas.

Semua rokok berkenaan didapati disorokkan dalam satu periuk besar dalam restoran itu.

Difahamkan, pengusaha restoran itu hanya menjual rokok seludup dalam kuantiti sedikit kepada pelanggan tertentu bagi mengelakkan perbuatan mereka diketahui pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu gagal hasil risikan dan maklumat awam sebelum seorang lelaki yang juga pemilik restoran berusia 30-an itu ditahan.

Lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan sebelum didakwa di mahkamah.

Operasi dijalankan itu membuktikan JKDM serius dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup di Sarawak terutama membabitkan pengusaha kecil.

Penjualan rokok seludup membabitkan pengusaha kedai runcit masih berleluasa di negeri ini kerana dipercayai mendapat permintaan pelanggan berikutan harganya jauh lebih murah.

Tindakan tegas termasuk denda dan penjara maksimun boleh dikenakan kepada mana-mana pengusaha, pemilik restoran atau sesiapa saja yang didapati menjual atau memiliki rokok seludup.

Sepanjang suku pertama tahun ini, JKDM Sarawak merampas rokok seludup bernilai RM1.6 juta dengan nilai cukai tidak berbayar sebanyak RM4.2 juta.

Sementara itu, di Port Dickson, Negeri Sembilan, JKDM menyerbu sebuah kedai runcit di Taman Port Dickson Utama, Selasa lalu selepas didapati menjual rokok seludup.

Dalam operasi bermula jam 12.30 tengah hari, penguat kuasa JKDM merampas 71 peket rokok berjenama Canyon dan League bernilai RM130.32 dengan jumlah cukai RM682.53.

Pemilik premis berusia 50 tahun diarahkan ke Ibu Pejabat JKDM di Seremban untuk diambil keterangan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 8:50 AM