MOHAMAD Roy (tengah)    menunjukkan barang rampasan  daripada  sindiket ‘African Scam’ pada sidang media di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
MOHAMAD Roy (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada sindiket ‘African Scam’ pada sidang media di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Polis menumpas sindiket penipuan ‘emas hitam’ yang dikesan aktif menipu orang ramai dengan menawarkan usaha sama perniagaan cari gali minyak dan gas.

Sindiket penipuan Afrika atau ‘African Scam’ itu yang bergiat aktif sejak lima tahun lalu dikesan menggunakan laman sosial Facebook (FB) untuk memburu mangsa.

Kegiatan sindiket itu bagaimanapun ditumpaskan polis hasil serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Serbuan bermula jam 6 petang kelmarin hingga 3 pagi semalam disasarkan di empat kondominium mewah sekitar Setapak di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, serbuan itu dilakukan selepas polis mengesan alamat digunakan suspek berdasarkan laporan polis dibuat mangsa lelaki berusia 29 tahun, petang kelmarin.

Menurutnya, polis menahan 10 lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Filipina berusia 28 hingga 35 tahun.

“Setakat ini polis mengenal pasti lebih 10 laporan kes di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan sindiket itu. Semua mangsa mengadu ditipu mencecah RM1.5 juta.

“Hasil pemeriksaan di empat kondominium disewa sindiket itu menemui pelbagai peralatan digunakan untuk melakukan jenayah seperti komputer riba, aksesori komputer, telefon bimbit dan pelbagai dokumen,” katanya dalam sidang media di IPD Wangsa Maju, semalam.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, ada mangsa diperdaya RM25,247 dan dijanjikan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan selepas berkenalan melalui FB tiga bulan lalu.

“Sebagai ganjaran kesudian mangsa menjadi rakan kongsinya, suspek kononnya mengirimkan hadiah istimewa dan wang tunai dollar Amerika Syarikat 50,000 (RM180,600) kepada mangsa.

“Beberapa hari kemudian, mangsa dihubungi wanita menyamar pegawai kastam meminta bayaran melepaskan bungkusan itu yang kononnya ditahan di lapangan terbang,” katanya.

Katanya, mangsa memasukkan wang berkenaan secara berperingkat ke dalam satu akaun milik warga tempatan sebelum menyedari ditipu.

Katanya, semua ditahan direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:50 AM