Mohd Roy (tengah) menunjukkan suspek yg diburu.
Mohd Roy (tengah) menunjukkan suspek yg diburu.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah ganas dikenali sebagai ‘Salman’ menjadi buruan utama polis selepas menetak empat mangsa dalam tempoh kurang 24 jam.

Suspek turut menyerang seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dalam beberapa kejadian samun di Jalan Genting Klang, Setapak di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif, berkata, identiti suspek berjaya dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kafe siber.

“Berdasarkan rakaman itu, suspek adalah individu yang memegang sebilah parang dan menetak mangsa di kafe siber itu membabitkan dua pelanggan dan seorang remaja.

“Suspek yang pernah tinggal di Flat Danau Kota di sini, dikesan turut cuba merompak seorang ejen pelancongan di tempat letak kereta berhampiran kafe siber itu pada jam 4.50 pagi hari sama,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang cuba membantu sebaliknya ditetak suspek.

“Suspek kemudian melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta tolong dengan meninggalkan motosikalnya di kawasan itu.

“Mangsa mengambil kunci motosikal itu sebelum tampil membuat laporan polis dan menyerahkan kunci itu kepada pihak polis,” katanya.

Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun itu kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, selang 20 minit selepas itu, suspek muncul semula di kawasan itu bersama empat lagi rakan mereka untuk mencari mangsa.

“Mereka masuk ke dalam kafe siber sebelum menyerang dan menyamun dua pelanggan berusia 19 dan 24 tahun yang berada di dalam premis itu.

“Suspek kemudian menyerang seorang remaja berusia 14 tahun di kepala dan siku ketika cuba melarikan diri,” katanya.

Susulan itu polis menahan lima anggota geng samun itu antara jam 10 malam hingga 8 pagi kelmarin di beberapa lokasi di Danau Kota dan merampas sebilah parang.

Katanya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil ke IPD Wangsa Maju atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Faisal Abd Khalid di talian 03-92899222.

Katanya, semua suspek kini sedang direman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 dan 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 9:20 AM