Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Polis menahan 11 lelaki Nigeria dan seorang wanita Filipina sindiket ‘African Scam’ yang dikesan bergiat aktif melakukan jenayah penipuan sejak 2010 dalam serbuan di empat lokasi sekitar Setapak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Shariff berkata, serbuan bermula 6 petang hingga 3 pagi itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pemilik syarikat yang diperdaya sindiket berkenaan hingga kerugian RM25,000.

“Pengadu tampil membuat laporan polis semalam dan susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial membuat siasatan dengan mengesan alamat IP yang digunakan suspek.

“Serbuan dilakukan di empat buah kondominium di sekitar Setapak yang disewa sindiket berkenaan dan dijadikan sebagai markas untuk melakukan penipuan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mengesan terdapat lebih 10 laporan polis berhubung sindiket berkenaan diterima dengan kerugian hampir RM1.5 juta di Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, semua yang ditahan direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 3:53 PM