JURGEN Klopp. FOTO REUTERS
JURGEN Klopp. FOTO REUTERS
Reuters

London: Liverpool perlu mencari semula jati diri mereka, kata pengurus Jurgen Klopp sambil mengakui pasukan bimbingannya tidak mungkin menamatkan musim ini selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengalami kemerosotan prestasi.

Liverpool, yang akan berkunjung ke West Ham United esok, hanya memenangi satu daripada empat perlawanan liga terakhir mereka dan Klopp, yang akan berundur pada penghujung musim berkata, dia bertanggungjawab terhadap 'mood' dalam skuadnya.

Kekalahan 0-2 di Everton dalam perlawanan derby Merseyside sebelum ini, memberi tamparan hebat kepada harapan Liverpool untuk memenangi liga dengan kelab itu kini menduduki tangga ketiga, tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal dengan berbaki empat perlawanan.

Manchester City kurang satu mata di belakang The Gunners selepas membelasah Brighton & Hove Albion dan kurang satu perlawanan dalam tangan.

"Saya bertanggungjawab ke atas mood pasukan dan saya tidak akan mengatakan kami berada di kedudukan terbaik sekarang, kami kalah dalam perlawanan yang penting di Goodison Park, sangat teruk," kata Klopp kepada pemberita.

Ditanya mengenai kedudukan pasukannya yang semakin sukar untuk merebut kejuaraan, Klopp berkata: "Saya cukup yakin City dan Arsenal akan terus bersaing.

"Mereka mungkin mengatakan sesuatu yang berbeza secara terbuka tetapi saya tidak menjangkakan mereka tewas dua perlawanan (pada baki aksi liga).

"Saya tidak menjangkakan mereka akan kalah. Kita perlu berada di sana jika itu berlaku. Kita perlu mulakan dengan menang apabila menentang West Ham.

"Mereka kalah dalam perlawanan terakhir mereka juga, jadi mereka perlu menunjukkan reaksi dan kami juga perlu melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 10:11 PM