Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Polis memburu lelaki yang dipercayai gila seks selepas mengganggu dan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di hentian bas di Jalan Air Panas, Setapak, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11.44 pagi itu, suspek yang menaiki motosikal duduk di sebelah mangsa sebelum membuka zip seluar sambil menunjukkan kemaluannya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sariff berkata, wanita yang berusia 29 tahun itu cuba melarikan diri namun suspek terlebih dulu memegang payudara mangsa.

“Mangsa dikejar suspek menyebabkan dia menjerit meminta tolong daripada seorang rakan yang kebetulan berada di situ.

“Suspek bagaimanapun melarikan diri, namun terlanggar motosikal lain dan terjatuh. Dia melepaskan diri dengan meninggalkan motosikalnya di situ,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian itu, ada dua lagi wanita yang terkejut dengan tindakan suspek dan melarikan diri.

“Susulan kejadian itu, mangsa mengambil kunci motosikal suspek dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal itu dimiliki seorang wanita yang mendakwa kenderaan itu digunakan pekerjanya,” katanya.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan kes kejadian mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 8:09 AM