Unit berkuda FRU menjalankan rutin rondaan.
Unit berkuda FRU menjalankan rutin rondaan.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan dan pejabat kedutaan di daerah Wangsa Maju di sini, bagi mengekang kegiatan jenayah.

Pasukan itu membabitkan enam anggota berkuda itu memulakan rondaan bermula jam 10 pagi hingga jam 2 petang setiap hari bekerja.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, rondaan itu hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama pasukan FRU dalam mencegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Rondaan dilakukan di sekitar kawasan Jalan Ampang Hilir dan Jalan U Thant yang menempatkan pejabat dan perumahan kedutaan.

“Rondaan berkuda ini tidak membabitkan jalan utama sebaliknya hanya jalan kecil di kawasan dalam lokasi berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohamad Roy, melalui rondaan itu, anggota bertugas akan memaklumkan kepada bilik gerakan sekiranya terdapat sebarang tindakan mencurigakan di lokasi itu.

“Pasukan unit berkuda itu juga akan dibantu Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Pasukan Unit Peronda Polis (MPV) sekiranya berlaku sebarang aduan awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 10:14 AM