Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Laporan 'Pakej Beli Bayi' mengangkat Harian Metro (HM) sebagai pemenang utama kategori media cetak dan portal berita sempena Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023, malam ini.

Laporan yang disiarkan secara bersiri dihasilkan Pengarang Berita HM, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, melayakkan beliau menerima hadiah RM6,000 selain plak dan sijil.

Tempat kedua kategori itu dimenangi empat wartawan New Straits Times (NST) iaitu Aliza Shah Muhammad Shah, Iykia Marsya Iskandar, Siti Nur Amalina Kamal dan Kalbana Perimbanayagam, menerusi laporan 'MACC Netting More Big Fish'.

Mereka membawa pulang hadiah RM4,000 bersama plak dan sijil.

Selain itu, SPRM turut membuat kejutan apabila memberi wang tunai RM2,000 sebagai hadiah tambahan kepada setiap pemenang.

Semua anugerah disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Anugerah Media SPRM 2023 adalah penganjuran kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada 2020 bertujuan mengiktiraf karya kewartawanan berkaitan dengan isu-isu rasuah.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Terdahulu, Azam dalam ucapan berkata, SPRM berbesar hati dengan sambutan menggalakkan daripada pengamal media yang menyertai Anugerah Media SPRM 2023.

"Saya dimaklumkan, penentuan pemenang bagi Anugerah Media SPRM 2023 diadili dua pakar media iaitu Mustapa dan Penasihat Editorial Bebasnews, Datuk Mohd Zaini Hassan serta dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Jules Rahman Ong.

"Saya amat berterima kasih kepada peserta-peserta atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang dihasilkan. Laporkanlah isu-isu rasuah dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, dedahkan kepada mereka tentang bahayanya rasuah kepada negara," katanya.

Sementara itu, Mohd Jamilul Anbia berkata, beliau tidak menjadikan kemenangan itu sebagai matlamat utama, sebaliknya mahu meraikan kejayaan dan usaha SPRM dalam membanteras rasuah.

"Jauh lebih penting adalah menyokong visi dan misi SPRM selain membuktikan komitmen HM menerusi pendedahan pelbagai berita bersiri eksklusif sepanjang tahun lalu.

"Antaranya isu rasuah membabitkan tangkapan berpuluh penguat kuasa di laut, sindiket membawa masuk pendatang haram Filipina melalui KLIA 2 serta sindiket penjualan bayi membabitkan tangkapan serta risikan SPRM," katanya.

Berita berkaitan

Komplot jahat doktor pakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 9:51 PM