Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Tidak ubah seperti ‘toyol’ di atas siling. Itu dilakukan pelajar lelaki sebuah kolej swasta yang gemar bersembunyi dan merakam curi video bogel teman wanita serumah.

Suspek berusia 20-an itu dikatakan mengambil kesempatan menyorok di siling kediaman disewa di Taman Bunga Raya, Wangsa Maju, di sini, untuk melakukan aktiviti jijik itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Shariff berkata, rumah itu dijadikan penginapan bagi sekumpulan pelajar lelaki dan wanita kolej swasta, di sini.

Menurutnya, tingkat bawah kediaman teres itu dikhususkan untuk pelajar perempuan manakala tingkat atas rumah pula didiami pelajar lelaki.

“Bagaimanapun bilik air di tingkat bawah kediaman rosak menyebabkan pelajar perempuan menumpang mandi di tingkat atas rumah itu.

“Kesempatan itu digunakan suspek bersembunyi di siling bagi merakam video pelajar wanita mandi di dalam tandas di rumah itu sejak dua bulan lalu,” katanya.

Katanya, tindakan suspek terbongkar apabila perbuatan itu dikesan salah seorang daripada empat mangsa pada jam 9 pagi, 7 Jun lalu.

“Mangsa mendakwa ternampak suspek bersembunyi di siling ketika dia mandi.

“Mangsa mengejar suspek sehingga ke dalam bilik lalu merampas telefon bimbit yang digunakan untuk merakam gambar bogelnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa terkejut apabila turut menemui satu cakera keras mengandungi 12 rakaman video bogelnya dan tiga penghuni wanita lain.

“Setakat ini, tiga mangsa berusia antara 18 hingga 21 tahun tampil membuat laporan polis berhubung kegiatan tidak senonoh suspek.

“Polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai suspek tampil ke balai polis berhampiran atau IPD Wangsa Maju untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, suspek dikenali sebagai Woo Yeong Jian, 20 dengan alamat terakhir di Taman Sri Putra, Sungai Buloh, Selangor.

“Dia sudah melarikan diri dan tidak hadir ke kolejnya sehingga kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 11:20 AM