DR Ahmad Zahid   (kanan) melawat  Khairuddin  di rumahnya di Subang Jaya, semalam.
DR Ahmad Zahid (kanan) melawat Khairuddin di rumahnya di Subang Jaya, semalam.

Subang Jaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu siasatan dijalankan kemungkinan berlakunya perniagaan ‘Ali Baba’ dalam tempahan dan penjualan seragam pasukan keselamatan negara termasuk seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, penjualan seragam pasukan keselamatan hanya boleh dijual kedai atau tukang jahit yang diberikan tauliah, bukan dijual sewenang-wenangnya.

Menurutnya, dia membaca keseluruhan artikel dilaporkan Harian Metro berhubung isu penjualan secara terbuka seragam ATM dan PDRM oleh tukang jahit Bangladesh.

“Saya juga mengarahkan siasatan dilakukan pengurusan PDRM bukan saja di Kuala Lumpur, sebaliknya di seluruh negara membabitkan isu ini. Siasatan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan orang menyalahgunakan seragam tentera dan polis untuk penyamaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat bekas Timbalan Pengarah Hal Ehwal Semasa RTM, Khairuddin Che Long yang kini terlantar sakit di rumahnya di Subang Jaya, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, isu tukang jahit warga Bangladesh menjahit pakaian seragam keselamatan bukanlah menjadi satu kesalahan.

“Sebaliknya, mereka (warga Bangladesh) yang menjual pakaian seragam itu kepada orang awam adalah satu kesalahan.

“Jadi, sebarang penjualan atau pembelian pakaian polis dan tentera menyalahi undang-undang,” katanya.

Ahmad Zahid yang sebelum ini pernah memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan berkata, beliau mengetahui peraturan di dalam PDRM dan ATM yang menetapkan hanya kedai dan tukang jahit diberikan tauliah penjualan saja dibenarkan untuk menjual pakaian seragam pasukan keselamatan.

“Selain itu, kita juga kena kenal pasti sekarang tentera guna celoreng digital berbanding celoreng lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 10:31 AM