Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan  (tengah) menunjukkan kelengkapan polis yang dirampas. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan (tengah) menunjukkan kelengkapan polis yang dirampas. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seorang lelaki Pakistan yang juga tukang jahit sebuah kedai pakaian seragam, ditahan polis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit membekalkan kelengkapan pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pekan Seri Manjung di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di premis majikannya selepas didapati menjalankan perniagaan membekal kelengkapan pakaian seragam PDRM secara tidak sah sejak lapan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, pihaknya merampas pelbagai lencana, pangkat dan beberapa kelengkapan pakaian seragam PDRM bernilai RM4,300.

"Polis sedang mengesan majikan lelaki warga asing itu manakala premis berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan membekalkan kelengkapan pakaian seragam PDRM sejak lapan bulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, sebentar tadi.

Semalam, polis menahan seorang lelaki dan merampas kelengkapan pakaian seragam PDRM dianggar bernilai RM2,500 di sebuah premis di Taman Kampar Siswa, Kampar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:38 PM