Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan apabila disyaki menyamar sebagai anggota tentera dengan memakai pakaian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Kota Tinggi dekat sini, pagi kelmarin.

Suspek ditemui jam 10.30 pagi di belakang masjid kem berkenaan dengan berpakaian lengkap celoreng ATM berpangkat Leftenan Muda.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, terdahulu sebuah kenderaan Toyota Camry tanpa pemandu dijumpai ditinggalkan di perkarangan masjid oleh Pegawai Bertugas PULADA dan anggotanya sebelum maklumat itu membawa kepada pemeriksaan sekitar masjid berkenaan.

Beliau berkata, selepas pemeriksaan dibuat, lelaki itu ditemui di kawasan terbabit sebelum ditahan kerana gagal memberikan pengenalan diri sebagai pegawai tentera.

“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis Kota Tinggi dan beberapa barangan turut dirampas.

“Antara barangan yang dirampas, sepasang pakaian seragam celoreng digital tentera berpangkat Leftenan Muda, sepasang kasut jenama Minolis ‘Hak Kerajaan Malaysia’, satu tali pinggang, satu beret berwarna hitam, telefon bimbit, tablet dan Toyota Camry,” katanya.

Menurut Rahmat, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memakai seragam tentera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:54 AM