Laman Facebook sokong ATM persoalkan tindakan Hazama. FOTO SATM
Laman Facebook sokong ATM persoalkan tindakan Hazama. FOTO SATM
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi Hazama memohon maaf jika ada pihak tertentu yang tersinggung dengan baju celoreng yang dipakainya ketika tampil sebagai mentor di konsert pengenalan Mentor Milenia 2017 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, malam tadi sehingga menerima kecaman di laman sosial.

Hazama berkata, dia juga tiada niat langsung untuk memperlekehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dakwaan netizen itu.

“Sebenarnya, sebagai rakyat Malaysia saya juga berasa bangga mengenakan pakaian celoreng yang juga hasil sentuhan pereka fesyen Suffian Tugiman itu.

“Pada masa sama, saya juga ingin menggambarkan semangat kecintaan kepada negara kerana saya juga menyanyikan lagu Agi Idup Agi Ngelaban iaitu lagu tema filem Kanang Anak Langkau yang bakal ditayangkan nanti,” katanya.

Hazama berkata, dia berjanji akan lebih sensitif jika ingin mengenakan pakaian celoreng yang dikaitkan dengan pakaian seragam tentera pada masa akan datang.

“Setakat ini, saya juga tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak berkaitan mengenai pakaian saya itu,” katanya.

Semalam laman Facebook iaitu Sokong Angkatan Tentera Malaysia mempersoalkan tindakan Hazama mengenakan baju berkenaan ketika program Mentor Milenia 2017 malam semalam.

Status di laman Facebook itu juga menunjukkan mereka kesal kerana orang ramai dengan sewenang-wenangnya mengenakan pakaian seragam tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 7:04 PM