Shamsuzy (tengah)  dihukum penjara empat tahun. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN.
Shamsuzy (tengah) dihukum penjara empat tahun. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN.
Murni Wan Omar


Kajang: Seorang bekas pengarah syarikat pelaburan, Samsuzy Mahasan dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menipu berhubung tender membuat pakaian seragam celoreng Kementerian Pertahanan Malaysia membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Samsuzy, 30, selepas wanita itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap 7 Februari lalu.

Samsuzy kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menipu membabitkan mangsa yang lain dan akan dibebaskan pada 17 November 2019.

Berdasarkan pertuduhan, ibu tunggal anak satu itu didakwa dengan curangnya menipu seorang wanita dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa Syarikat Tenaga Kayangan Sdn Bhd miliknya mendapat tender bagi membuat pakaian seragam celoreng atau digital tentera daripada Kementerian Pertahanan Malaysia.

Samsuzy didakwa menjanjikan keuntungan sebanyak 60 peratus daripada modal yang diberikan dan tindakan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM904,778 sebagai modal sedangkan ia tidak benar.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Tembusu 2, Taman Impian Ehsan Balakong, antara September 2015 sehingga April 2016.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 3:41 PM