Marini minta maaf atas tindakan Hazama dikatakan tidak menghormati ATM. FOTO Youtube
Marini minta maaf atas tindakan Hazama dikatakan tidak menghormati ATM. FOTO Youtube
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Penerbit program realiti Mentor Milenia 2017, Primeworks Studios Sdn Bhd (PWS) memohon maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua pihak yang tersinggung di atas pemakaian baju celoreng oleh Hazama di konsert pengenalan program itu, malam kelmarin.

Pengurus Besar Pengedaran dan Inovasi, Primeworks Distribution Sdn Bhd, Marini Ramlan berkata, pihaknya akan memberi lebih perhatian terhadap etika dan cara penampilan setiap mereka yang terbabit dengan program itu selepas ini.

"Kami sangat mengambil berat terhadap isu yang berlaku. Selepas ini kami akan lebih fokus terhadap penampilan mereka yang terbabit dan akan merujuk kepada pihak yang lebih arif mengenai soal pemakaian setiap peserta dan mentor mereka.

“Kami tak nafikan soal penampilan seseorang itu kadang-kadang di luar kawalan, tetapi disebabkan ia membabitkan pakaian seragam perkhidmatan awam, ia menjadi isu," katanya.

Marini berkata, pihaknya sudah menghantar surat permohonan maaf kepada ATM dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini.

Dalam surat berkenaan PWS memaklumkan bahawa pemakaian baju celoreng oleh Hazama tidak sama sekali berniat untuk memperkecilkan tugas dan pengorbanan ATM kepada masyarakat dan negara.

“Kami juga ingin memohon maaf kerana kurang peka dengan situasi yang membabitkan ATM. Berikutan insiden itu, pihak syarikat memberi peringatan kepada semua kru produksi termasuklah selebriti jemputan untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa akan datang,”katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Hazama yang juga salah seorang mentor program berkenaan memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan tindakannya memakai pakaian celoreng pada malam itu.

Tindakan Hazama itu dikecam segelintir pihak di Internet apabila dikatakan tidak menghormati ATM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:41 PM