KOLEKSI tampil ciri remaja ceria, segar, berani dan comel.
KOLEKSI tampil ciri remaja ceria, segar, berani dan comel.
Siti Nadirah Hafidzin


REMAJA tidak terkecuali mahu tampil cantik dengan menggayakan fesyen terkini namun tidak semua busana di pasaran menepati kriteria dikehendaki.

Ada yang tampak selesa tetapi potongannya tidak sesuai, ada pula yang dihasilkan menggunakan rona tidak ceria manakala ada pula ditambah manik atau perincian yang sinonim fesyen dewasa.

Akhirnya mereka terpaksa membeli pakaian yang tidak sesuai dengan usia atas keterbatasan fesyen remaja di pasaran dan akhirnya dilabel ‘mak cik’ dan tidak tahu berfesyen.

Berusaha membantu menyelesaikan masalah dialami remaja termasuk yang memiliki tubuh sedikit berisi, jenama fesyen tempatan by Noryn Kamal menampilkan dimensi baharu dalam dunia fesyen remaja dengan menyediakan koleksi terkini dan selesa digayakan.

Tidak sekadar memberi pilihan pelbagai kepada golongan ini, semua koleksi itu juga membuka peluang khusus untuk remaja masa kini merasai pengalaman hebat menggayakan rekaan terkini.

Rekaan yang selesa, mudah dipakai dan sesuai digayakan pelbagai acara menjadikan koleksi ini berbaloi untuk dimiliki.

Menurut pengasasnya, Norain Abdul Rashid, koleksi itu direka khusus untuk remaja perempuan yang mahu berfesyen sesuai dengan usia.

“Rekaan ini juga sesuai untuk acara kasual dan santai. Idea timbul selepas menyedari kesukaran untuk mendapatkan busana remaja di pasaran.

DARI kiri, renda pilihan untuk mereka yang inginkan gaya sederhana. Tampil klasik dengan baju berpotongan kebaya.
DARI kiri, renda pilihan untuk mereka yang inginkan gaya sederhana. Tampil klasik dengan baju berpotongan kebaya.

“Menggunakan fabrik kapas dan denim lembut, koleksi ini mampu meningkatkan keyakinan diri selain tidak membataskan pergerakan harian mereka,” katanya.

Menurut Norain, koleksi ini menampilkan ciri remaja yang ceria, segar, berani dan comel.

“Melalui koleksi ini, golongan ini akan dapat bergaya dengan yakin tanpa perlu risau memikirkan soal fesyen yang tidak sesuai usia.

“Koleksi ini dijual pada harga bermula RM15 hingga RM250 dan didatangkan dalam pelbagai pilihan saiz,” katanya.

Katanya, dengan adanya koleksi ini, ia dapat menjadi satu penyelesaian kepada masalah remaja yang sukar mendapatkan rekaan baju sesuai dengan usia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:00 AM