KANAK-KANAK bertubuh besar kini boleh bergaya dengan pakaian lebih sesuai.
KANAK-KANAK bertubuh besar kini boleh bergaya dengan pakaian lebih sesuai.
HM Digital

Seperti orang dewasa, kanak-kanak bertubuh besar juga sering berdepan dengan masalah mencari pakaian sesuai usia. Biasanya ibu bapa terpaksa membeli pakaian untuk kanak-kanak yang lebih besar dan ia kemudian perlu dihantar ke kedai untuk diubah suai mengikut ketinggian mereka.

Biasanya, kanak-kanak dan ibu bapa terpaksa ‘menerima dan berpuas hati’ dengan rekaan dan corak pada pakaian untuk kanak-kanak besar atau orang dewasa, yang membuatkan anak mereka tampak lebih berusia.

By Noryn Kamal, jenama pakaian kanak-kanak tempatan memanfaatkan kekosongan dan keperluan ini dengan menampilkan dimensi baru dalam dunia fesyen si kecil dan menyediakan koleksi terkini khusus untuk kanak-kanak bertubuh besar.

Tidak sekadar memberi pilihan kepada ibu bapa mendapatkan pakaian sesuai untuk anak masing-masing, tetapi koleksi ini membuka peluang buat kanak-kanak merasai pengalaman menggayakan rekaan comel dan terkini.

Rekaan yang selesa, mudah dipakai dan sesuai digayakan untuk pelbagai acara menjadikan koleksi Right & Easy For Plus Size Kids ini berbaloi untuk dimiliki.

Menurut pengasasnya Norain Abdul Rashid, koleksi itu direka khusus untuk kanak-kanak perempuan berusia tujuh hingga 11 tahun yang mempunyai bentuk badan agak besar.

“Rekaan ini amat selesa digayakan juga sesuai untuk acara kasual dan santai. Idea timbul selepas menyedari kesukaran untuk mendapatkan busana kanak-kanak yang bertubuh besar di pasaran.

“Menggunakan fabrik kapas dan denim lembut, koleksi ini mampu meningkatkan keyakinan kanak-kanak itu dan ia juga tidak membataskan pergerakan mereka,” katanya.

Menurut Norain, koleksi ini menampilkan ciri kanak-kanak yang ceria, segar, berani dan comel.

“Melalui koleksi ini, kanak-kanak yang bertubuh besar tidak lagi perlu membeli pakaian dewasa yang ternyata tidak sesuai dari segi corak dan rekaan disebabkan masalah saiz.

“Koleksi ini dijual pada harga bermula RM150 hingga RM250 dan didatangkan dalam pilihan saiz bermula 2XL dan 3XL atau saiz 16 dan 18 kanak-kanak,” ujarnya.

Tambahnya, dengan adanya koleksi ini dapat menjadi satu penyelesaian kepada masalah dialami ibu bapa yang sukar mendapatkan rekaan baju sesuai untuk kanak-kanak bersaiz besar. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:29 PM