KOLEKSI yang berbeza ilham kreatif dua jejaka.
KOLEKSI yang berbeza ilham kreatif dua jejaka.
Siti Nadirah Hafidzin

Mengetengahkan konsep suai padan yang bersifat retro, namun rekaan terkini menjadikan koleksi busana sentuhan kreatif dua anak muda tempatan ini tampak unik.

Direka dengan penuh ketelitian, koleksi Twoo Official dihasilkan khusus untuk wanita yang berani berfesyen namun pada masa sama mahukan sesuatu selesa digayakan.

Gabungan idea Mohamad Fareez Azuan Abdullah dan rakan karibnya, Mohamad Idham Ismail menarik perhatian ramai terutama wanita yang gemarkan fesyen terkini.

Menurut Mohamad Fareez Azuan, Twoo Official mula bertapak dalam industri fesyen tempatan sejak tahun lalu dan menerima sambutan menggalakkan daripada semua wanita tanpa mengira usia.

CANTIK dan unik.
CANTIK dan unik.

“Kami menghasilkan rekaan berbeza dan untuk koleksi terbaru terdapat enam koleksi terkini antaranya gaun labuh serta pelbagai rekaan baju.

“Dengan konsep suai padan yang kami bawakan, pelanggan bukan sekadar membeli koleksi Twoo Official kerana pada masa sama kami akan memberikan cadangan jenis fesyen bersesuaian untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin pelanggan yang menggayakan koleksi Twoo Official akan berpuas hati dengan gaya terhasil.

“Kami turut menerima tempahan mengikut rekaan yang dimahukan pelanggan dan walaupun koleksi kami kebanyakannya sesuai untuk golongan muda namun tidak salah sekiranya ia digayakan wanita berusia yang berani.

 DIREKA dengan penuh ketelitian.
DIREKA dengan penuh ketelitian.

“Bagi soal harga, koleksi kami dijual pada harga berpatutan iaitu di bawah RM200 untuk memastikan sesiapa saja mampu memilikinya,” ujarnya.

Mohamad Fareez Azuan berkata, untuk perancangan 2018, pihaknya bakal mengeluarkan koleksi perayaan dan pengantin.

“Diharap dengan suntikan idea terkini dalam setiap rekaan yang kami hasilkan ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada wanita untuk berfesyen.

“Walaupun mementingkan aspek terkini, keselesaan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

SESUAI digayakan semua wanita.
SESUAI digayakan semua wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 9:52 AM