REKAAN gabungan moden dan tradisional dalam busana indah Muslimah, perkahwinan dan dres makan malam.
REKAAN gabungan moden dan tradisional dalam busana indah Muslimah, perkahwinan dan dres makan malam.
Yusliza Yakimir Abd Talib


MEMILIKI tubuh gempal tidak bermakna seseorang harus ketinggalan dalam fesyen kerana melaluinya, ia menyerlahkan penampilan diri dan menjadikan wanita tampak lebih berkeyakinan serta sempurna.

Menyedari kesukaran buat wanita bertubuh ‘comel’ mendapatkan pakaian mengikut trend terkini, Pereka fesyen, Azhar Zainal mengilhamkan rekaan khusus buat wanita bertubuh gempal.

Jika sebelum ini golongan bersaiz besar sering makan hati kerana tidak dapat tampil bergaya disebabkan kesukaran mendapatkan saiz, butik itu menyediakan pelbagai pilihan pakaian dan aksesori seiring perkembangan fesyen terkini.

“Warna dan rekaan dipelbagaikan selain sering diperbaharui mengikut cita rasa moden, terkini serta memenuhi keperluan semua peringkat usia.

“Bagi remaja, mereka cenderung memilih warna terang untuk tampil lebih menonjol dan yakin diri manakala golongan korporat pula gemar memilih warna gelap untuk kesesuaian di tempat kerja atau acara penting.

“Kami sangat berhati-hati dalam setiap pemilihan bagi mengelakkan ketidakselesaan dalam rutin mereka. Sebelum mencadangkan sesuatu rekaan, kami bertanya terlebih dulu tujuan pembelian sama ada pakaian untuk acara tertentu atau sekadar kasual supaya lebih mudah menyesuaikan cadangan kami dengan keperluan mereka,” katanya.

Menurut Azhar sepatutnya golongan saiz ‘plus’ tidak hanya dianggap golongan minoriti lagi di dalam negara, sebaliknya perlu diberi layanan yang sama khususnya dalam berfesyen.

Malah katanya, perkembangan fesyen hari ini hanya menumpukan saiz biasa dan tidak mempunyai kepelbagaian cita rasa. Malah rekaan sedia ada belum melangkaui sesuatu yang berani kerana bimbang ini tidak terjual di pasaran.

Baginya, saiz badan yang besar tidak seharusnya dijadikan halangan untuk seseorang memperagakan busana yang indah dan tampil mempesonakan.

Azhar mengambil inisiatif menghasilkan koleksi untuk bentuk fizikal besar dengan perincian sesuai kerana jika salah menggayakan fesyen seseorang tampak lagi besar daripada saiznya.

PERAGAAN fesyen unik di atas bas.
PERAGAAN fesyen unik di atas bas.

“Perancangan kami seterusnya ingin mempelbagaikan rekaan koleksi dengan fabrik yang sering ditakuti orang berbadan besar iaitu songket.

“Untuk rekaan baju saiz ‘plus’ ini, pereka perlu tahu apa yang golongan ini suka, walaupun nampak tak kena pada sesetengah orang, namun keselesaan adalah fokus utama. Ini kerana apabila mereka selesa, mereka akan tampil dengan berkeyakinan.

“Dari segi siluet, kalau teknik dan potongannya tepat, kita mampu membentuk ilusi yang menampakkan potongan menarik pemakai berbadan besar serta melindungi bahagian tertentu.†

“Oleh itu pemilihan fabrik seharusnya tidak terhad kerana yang penting bagaimana pereka bijak mengaplikasikan fabrik itu menjadi helaian menarik dan selesa dipakai,” katanya,

Baru-baru ini, Azhar bersama isteri, Farahin Zakaria yang turut terbabit dalam rekaan butik itu menyahut cabaran untuk melakukan sesi penggambaran di atas bas bergerak, KL Hop On Hop Off (HoHo) membabitkan sekumpulan model saiz ‘plus.’

Sebanyak tujuh busana diperagakan yang terdiri daripada busana muslimah, perkahwinan dan dres makan malam berkonsep moden dan tradisional.

Pertunjukan fesyen yang dinamakan Fashion Fun Ride itu adalah usaha sama Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera, HoHo dan restoran TheLove@Matic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:30 AM