Polis mengawal rumah yang dipercayai lokasi pembunuhan Abby Choi. - FOTO Reuters
Polis mengawal rumah yang dipercayai lokasi pembunuhan Abby Choi. - FOTO Reuters
Agensi

Hong Kong: Polis Hong Kong kembali ke perkampungan Tai Po pada Rabu untuk menemu bual penduduk setempat dalam usaha mengumpul lebih banyak bukti berkaitan pembunuhan ngeri sosialit Abby Choi.

Ketika ini, sebahagian tubuh dan tangannya masih belum ditemukan.

Pegawai mengetuk pintu kediaman penduduk di Lung Mei Tsuen, bertanya sama ada mereka mendengar bunyi bising atau melihat sesiapa yang mencurigakan di kawasan kejiranan pada 21 Februari lalu.

Choi berusia 28 tahun dipercayai dibunuh minggu lalu, dengan suspek didakwa memotong mayatnya di sebuah flat seluas 500 kaki persegi.

Hari pertama pencarian gagal menemui bukti baharu, dengan jangkaan operasi diteruskan sehingga Khamis.

Rakan-rakan dan keluarga model juga berkumpul di kampung berkenaan untuk memberi penghormatan dan menyeru keadilan ditegakkan, lapor SCMP.

Polis juga memerlukan sekurang-kurangnya sehari lagi untuk meneruskan carian di kawasan seluas padang bola sepak dengan bantuan jengkaut dan jentolak.

Lebih 100 anggota polis menjalankan operasi mencari di Ta Kwu Ling.

Pada Selasa, polis Hong Kong mula menggeledah tapak pelupusan sampah untuk mendapatkan bukti berkaitan pembunuhan kejam Choi, yang bahagian badannya yang dikerat ditemui di dalam peti sejuk dan periuk.

Bekas suaminya, Alex Kwong; bapa mentua, Kwong Kau dan abang iparnya, Anthony Kwong didakwa membunuh selepas polis menemui mayatnya di sebuah rumah yang disewa oleh Kwong Kau di kawasan pinggir bandar Hong Kong berhampiran sempadan tanah besar China.

Ibu Alex Kwong, Jenny Li, menghadapi satu pertuduhan menyelewengkan keadilan. Keempat-empat mereka ditahan tanpa jaminan.

Choi, yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di Instagram, menghilangkan diri pada 21 Februari, menurut laporan yang difailkan kemudian dengan Polis Hong Kong.

Catatan terakhirnya ialah pada 19 Februari, memaparkan sesi fotografi yang pernah dilakukannya dengan majalah fesyen.

Choi mempunyai pertikaian kewangan membabitkan berpuluh juta dolar Hong Kong dengan bekas suaminya dan keluarganya, kata polis, sambil menambah bahawa "sesetengah orang" tidak berpuas hati dengan cara Choi mengendalikan kewangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 6:49 PM