Abby Choi
Abby Choi
Agensi

Hong Kong: Suspek keenam yang didakwa terbabit dengan pembunuhan model dan pempengaruh, Abby Choi, berjaya ditahan.

Polis mengesahkan penahanan suspek lelaki, Lam yang berusia 41 tahun didakwa cuba membantu bekas suami Choi, Alex Kwong, 28, yang cuba melarikan diri dari Hong Kong melalui laluan laut menggunakan bot laju pada 25 Februari lalu dengan bayaran HK$100,000 (RM57,021.02).

Katanya, Lam, pekerja syarikat penyewaan kapal layar, ditahan di Sheung Wan, sebuah daerah di barat tengah Hong Kong petang Khamis lalu.

Pada taklimat media semalam, polis berkata, mereka tidak menemui sebarang bukti baharu berkaitan kes pembunuhan itu manakala operasi mencari ditamatkan serta masih mengumpul bahan bukti.

Butiran mengerikan pembunuhan Choi menarik perhatian media di seluruh dunia.

Dia dilaporkan hilang pada 21 Februari lalu dan beberapa bahagian badan termasuk kakinya, ditemui pada 24 Februari lalu.

PASUKAN polis mencari bukti berkaitan pembunuhan Abby Choi di kawasan pembuangan sampah. FOTO AP/TVB via APTN
PASUKAN polis mencari bukti berkaitan pembunuhan Abby Choi di kawasan pembuangan sampah. FOTO AP/TVB via APTN

Dua hari kemudian, kepalanya pula ditemui dengan bahagian badan yang lain dalam periuk sup besar di sebuah rumah kampung yang disewa di Tai Po, pinggir bandar di Hong Kong.

Pegawai turut merampas sebuah mesin pengisar daging, gergaji elektrik dan pisau.

Pada Selasa, polis Hong Kong memulakan pencarian terhadap anggota badan dan lengan Choi yang hilang di tapak pelupusan bandar bersaiz padang bola sepak selepas ahli keluarganya mengenal pasti mayatnya yang lain di rumah mayat.

Apabila Kwong ditangkap dalam serang hendap polis di jeti Tung Chung di Pulau Lantau, dia mempunyai wang tunai HK$500,000 (RM285,105.09) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (RM2.28 juta).

Selain Kwong, tiga lagi didakwa berhubung pembunuhan kejam itu iaitu abang, ayah dan ibu Kwong.

Mereka dijadual hadir di mahkamah sekali lagi pada 8 Mei ini.

Choi, yang mempunyai dua anak dengan Kwong berkahwin lagi dan mempunyai dua lagi anak.

Dalang di sebalik pembunuhan itu dipercayai bapa Kwong dan bekas bapa mentua Choi, Kwong Kau, 65, seorang bekas anggota polis.

Polis berkata. pertikaian harta adalah kemungkinan motif pembunuhan itu.

Perempuan simpanan Kwong yang lebih berusia itu juga ditangkap tetapi dibebaskan dengan ikat jamin pada Selasa dengan perintah melaporkan kepada polis pada penghujung Mac ini.

Perempuan simpanan itu, seorang tukang urut yang nama penuhnya tidak didedahkan pihak berkuasa, dikatakan menyewa flat tingkat satu harta tanah tiga tingkat yang mana bahagian anggota badan mayat Choi ditemui.

Choi dilaporkan diserang di dalam kereta dan dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah di kawasan kampung.

Masa sebenar kematiannya masih disiasat.

Polis berkata, siasatan agak sukar kerana suspek tidak memberi kerjasama.

Kira-kira puluhan pegawai menyoal siasat penduduk di sekitar rumah kampung itu pada Rabu lalu, bertanya sama ada mereka mendengar bunyi bising atau melihat sesiapa yang mencurigakan di kawasan kejiranan pada 21 Februari lalu, hari Choi dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 12:22 PM