ABBY Choi dipercayai dibunuh oleh keluarga bekas suami. FOTO AP
ABBY Choi dipercayai dibunuh oleh keluarga bekas suami. FOTO AP
Syah Rul Aswari Abdullah


Kes bunuh sosialit Hong Kong yang juga model dan pempengaruh terkenal Hong Kong, Abby Choi, 28, menjadi tajuk utama berita sejak dua minggu lalu. Ini memandangkan cara mayat Choi ditemukan, motif kejadian dan dalang utama yang didakwa merancang pembunuhan mangsa adalah daripada keluarga bekas suaminya sendiri.

Choi pertama kali dilaporkan hilang pada 22 Februari lalu (Rabu) - sehari selepas dia dan bekas abang iparnya, Anthony Kwong - sepatutnya menjemput anak perempuan kepada wanita itu, yang berusia lapan tahun, dari sekolah, lapor South China Morning Post (SCMP) dan Vice. Apa terjadi sebaliknya, Choi tidak tiba di sekolah berkenaan.

Dua hari kemudian, ketika polis menyiasat kehilangan sosialit itu dan cuba mengesahkan butiran kejadian seperti diberitahu ahli keluarga bekas suaminya, polis menemukan sepasang kaki dipercayai milik wanita itu di dalam peti sejuk di sebuah apartmen, lapor Associated Press.

Apartmen itu - menurut laporan media tempatan disewa oleh bekas bapa mentua Choi iaitu Kwong Kau, beberapa minggu sebelumnya. Polis juga mendapati keluarga bekas suami wanita itu memberikan maklumat yang tidak tepat berhubung keberadaan Choi sebelum wanita itu dilaporkan hilang.

Pada Jumaat (24 Februari), polis menemukan beg tangan Choi, kad pengenalan dan kad kredit di apartmen berkenaan. Unit berkenaan hampir tidak mempunyai perabot dan dindingnya ditutup dengan kain seperti kanvas, menurut laporan SCMP.

Selain itu, ada gergaji elektrik ditemukan bersama-sama tukul, pelindung muka, baju hujan berwarna hitam, dua bilah pengisar, dua periuk sup berisi tisu manusia dan pengisar daging yang kemudian disahkan oleh Superintendan Polis Hong Kong Alan Chung digunakan pada daging manusia, menurut CBS News.

Bekas abang ipar Choi, Anthony Kwong; bekas bapa mentua, Kwong Kau dan bekas ibu mentua, Jenny Li ditahan pada Jumaat (24 Februari). Namun, bekas suaminya, Alex Kwong hanya ditangkap pada Sabtu (25 Februari). Ketika diberkas, Alex dipercayai mahu melarikan diri dari Hong Kong dan membawa bersamanya wang bernilai AS$64,000 (kira-kira RM286,000) dan jam tangan berjenama bernilai AS$510,000 (RM2.28 juta).

Anthony Kwong, Kwong Kau dan Alex Kwong didakwa atas pembunuhan Choi pada Ahad (26 Februari). Ia selepas polis menemukan tengkorak, rambut dan tulang rusuk di salah satu periuk yang ditemukan di sebuah apartmen pada Jumaat (24 Februari). Jenny Li pula ditahan kerana menghalang keadilan kerana didakwa memusnahkan bukti yang boleh menunjukkan pembabitannya dalam pembunuhan itu.

Selain itu, seorang wanita berusia 47 tahun yang masih tidak dinamakan dan dipercayai mempunyai hubungan romantik dengan Kwong Kau, ditahan pada Ahad (26 Februari) kerana dipercayai membantu lelaki itu dalam menyewa apartmen, lokasi anggota badan mangsa ditemukan. Selain itu, wanita berkenaan dipercayai menyewa satu lagi apartmen berasingan untuk menyembunyikan bekas suami Choi. Wanita ini bagaimanapun masih tidak didakwa berhubung kes ini.

Lebih 100 anggota polis berusaha mencari baki anggota badan Choi di satu tapak perkuburan. Ia adalah lokasi dipercayai dilawati bekas bapa mentua dan abang iparnya, pada hari mangsa dilaporkan hilang. Selain itu, polis turut melakukan pencarian di sistem kumbahan apartmen berkenaan.

Polis percaya bahawa Choi diserang ketika menaiki van dengan tujuh tempat duduk yang ditemukan di apartmen Kwong Kau. Menurut laporan SCMP pula, tengkorak mangsa ditemukan dengan lubang pada sebelah kanan dan bahagian belakang. Menurut ahli patologi, ini yang menyebabkan kematian mangsa.

Jadi apa yang menyebabkan mangsa dibunuh dengan kejam? Menurut rakan kepada Choi, Pao Jo-yee Cheng, selepas bercerai, wanita itu masih mengekalkan hubungan rapat dengan keluarga bekas suaminya. Choi memiliki dua anak hasil perkahwinan dengan Alex Kwong.

Namun, hubungan itu menjadi 'keruh' awal bulan lalu apabila Choi memutuskan untuk menjual apartmen bernilai AS$9,000,000 (kira-kira RM40 juta) yang sebelum ini dibelikan wanita itu kepada bekas suami. Walaupun Choi berjanji untuk memindahkan bekas suami di tempat lain, SCMP melaporkan, hal itu menimbulkan rasa tidak puas hati daripada bekas bapa mentuanya. Untuk rekod, Choi membeli apartmen itu atas nama bekas bapa mentuanya.

Polis percaya bekas bapa mentua yang juga bekas pegawai polis adalah individu yang merancang pembunuhan Choi. Siasatan juga mendapati bahawa Choi tidak mendaftarkan perkahwinan baharu dengan Chris Tam. Ini bermakna aset wanita itu akan diwarisi oleh Kwong, dua anak Choi bersama Alex, jika Choi meninggal dunia.

Kes ini menarik perhatian kerana membabitkan kematian wanita muda dan popular. Sama juga seperti beberapa kes kematian membabitkan wanita cantik lain seperti pelakon Thailand, Tangmo Nida dan YouTuber muda Amerika Syarikat, Gabby Petitio - nama Abby Choi kini 'meniti' bibir pengguna media sosial. Pengikut akaun Instagram Choi meningkat lebih 40,000 dalam tempoh dua minggu dan setakat ini, pengikutnya sudah berjumlah 142,000.

Kes ini akan disebut semula di mahkamah pada 8 Mei depan.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 9:23 AM