ABBY Choi. FOTO Instagram
ABBY Choi. FOTO Instagram
Agensi

Hong Kong: Sebelum dibunuh, sosialit yang juga model dan pempengaruh Hong Kong, Abby Choi, dipercayai mengekalkan hubungan rapat dengan keluarga bekas suaminya.

The Straits Times melaporkan, hubungan mereka bagaimanapun menjadi dingin kerana pertikaian membabitkan jutaan dolar.

Ketika polis Hong Kong terus mengumpulkan butiran dan kesan anggota badan, laporan media tempatan serta sumber media sosial mendedahkan wanita berusia 28 tahun itu terus menyara bekas suami juga keluarganya, dari segi kewangan selepas pasangan itu berpisah.

Choi, yang dilaporkan mempunyai aset bernilai bersih kira-kira 100 juta dolar Hong Kong (kira-kira RM56 juta), berasal dari keluarga kaya dengan urusan perniagaan di China.

Wanita itu turut menyediakan tempat tinggal untuk bekas mentua serta dua anaknya iaitu di sebuah pangsapuri mewah selain membantu bekas abang iparnya membeli rumah.

Setakat ini, empat suspek ditahan susulan kes berkenaan.

Mereka adalah bekas suami Choi, Alex Kwong, 28, abangnya Anthony, 31, dan ibu bapa mereka.

Choi berkahwin dengan Kwong ketika dia berumur 18 tahun.

Bekas bapa mentua Choi yang berusia 65 tahun dan Anthony didakwa bersama atas tuduhan membunuh.

Bekas ibu mentuanya, 63, didakwa dengan satu pertuduhan menghalang keadilan.

Ketiga-tiga mereka ditetapkan untuk hadir di mahkamah tempatan pada Isnin.

Selain itu, Kwong mungkin didakwa atas pertubuhan membunuh.

Bapa Kwong, seorang bekas polis disyaki menjadi dalang pembunuhan yang dirancang dengan teliti dan membabitkan alat seperti pemotong daging serta gergaji elektrik.

Terdapat juga penemuan mengerikan dalam periuk sup mengandungi anggota badan manusia dipercayai milik Choi, yang hilang Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 11:32 AM