Polis menggeledah tapak pelupusan sampah untuk mencari sebahagian anggota badan Abby Choi yang belum ditemui. - FOTO Reuters
Polis menggeledah tapak pelupusan sampah untuk mencari sebahagian anggota badan Abby Choi yang belum ditemui. - FOTO Reuters
AP

Hong Kong: Polis Hong Kong mula menggeledah tapak pelupusan sampah pada Selasa untuk mendapatkan bukti berkaitan pembunuhan kejam model Abby Choi, yang bahagian badannya yang dikerat ditemui di dalam peti sejuk dan periuk.

Bekas suaminya, Alex Kwong; bapa mentua, Kwong Kau dan abang iparnya, Anthony Kwong didakwa membunuh selepas polis menemui mayatnya di sebuah rumah yang disewa oleh Kwong Kau di kawasan pinggir bandar Hong Kong berhampiran sempadan tanah besar China.

Ibu Alex Kwong, Jenny Li, menghadapi satu pertuduhan menyelewengkan keadilan. Keempat-empat mereka ditahan tanpa jaminan.

Mereka masih belum membuat pengakuan, dan peguam mereka tidak mengulas mengenai kes itu kepada media. Perbicaraan ditangguhkan sehingga Mei.

Pada pagi Selasa, lebih 100 pegawai yang memakai alat perlindungan pergi ke Tapak Pelupusan Wilayah Baru Timur Laut di Ta Kwu Ling, kira-kira 15 minit pemanduan dari tanah besar China, untuk mencari bahagian badan yang hilang menggunakan jengkaut dan penyodok.

Polis berkata sebelum ini mereka masih mencari tangan dan sebahagian anggota tubuhnya.

"Suspek membuang beberapa beg bukti penting pada pagi 22 Februari. Ia mungkin sebahagian daripada anggota badan manusia atau mungkin pakaian dan telefon mangsa, atau juga senjata," kata Superintendan Alan Chung kepada pemberita.

Chung berkata mereka belum menemui apa-apa yang besar, selain tulang, yang polis tidak dapat memastikan sama ada ia milik manusia atau haiwan.

Keluarga Choi, berpakaian hitam, berkumpul berhampiran rumah di mana bahagian tubuhnya ditemui untuk memberi penghormatan.

Mereka sebelum itu melawat rumah mayat untuk membuat pengecaman.

Beberapa orang yang berkabung beremosi tetapi keluarga itu tidak menjawab soalan wartawan.

Alex Kwong hadir di mahkamah lain pada Selasa untuk kes kecurian sebelum ini, di mana dia terpaksa diikat jamin.

Choi, yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di Instagram, menghilangkan diri pada 21 Februari, menurut laporan yang difailkan kemudian dengan Polis Hong Kong.

Catatan terakhirnya ialah pada 19 Februari, memaparkan sesi fotografi yang pernah dilakukannya dengan majalah fesyen L'Officiel Monaco.

Choi mempunyai pertikaian kewangan melibatkan berpuluh juta dolar Hong Kong dengan bekas suaminya dan keluarganya, kata polis, sambil menambah bahawa "sesetengah orang" tidak berpuas hati dengan cara Choi mengendalikan kewangannya.

Pembunuhan yang mengerikan itu telah membingungkan ramai di Hong Kong dan merentasi sempadan di tanah besar China, memandangkan bandar selatan China yang ditadbir sendiri itu mempunyai tahap jenayah kekerasan yang sangat rendah.

Rakan Choi, Bernard Cheng sebelum ini berkata dia pada mulanya menyangka dia telah diculik.

"Saya tidak pernah membayangkan orang yang begitu baik, penuh kasih sayang, sangat tidak bersalah, orang yang tidak melakukan apa-apa yang buruk akan dibunuh seperti ini," katanya.

"Hati saya masih berat. Saya tidak boleh tidur lena."

Cheng berkata Choi mempunyai empat anak, berusia antara 3 dan 10 tahun. Alex Kwong, 28, adalah bapa kepada dua anak yang lebih tua, yang dijaga oleh ibu Choi.

Choi telah berkahwin semula dengan Chris Tam, bapa kepada anak-anak yang lebih kecil, yang tinggal bersama keluarganya.

Choi mempunyai hubungan baik dengan keluarganya, termasuk mentuanya, dan akan melancong bersama keluarga bekas suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 4:18 PM