ANTARA aksi LTdL tahun lalu yang dianjurkan oleh Human Voyage Sdn Bhd. FOTO FATHIL ASRI
ANTARA aksi LTdL tahun lalu yang dianjurkan oleh Human Voyage Sdn Bhd. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi sebelum ini, Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Perkara itu diambil susulan tindakan badan induk berkenaan memberi kenyataan berhubung yang menjatuh imej HVSB.

Ketua Pegawai Operasi LTdL dari HVSB, Shahaizereen A Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang HVSB menganjurkan LTdL sebelum ini, tiada isu langsung berkaitan dengan hutang terhadap mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan juga sudah dibayar kepada pasukan.

"Sepanjang HVSB menganjurkan LTdl tiada isu berkaitan hutang malah kami juga turut membayarkan hutang dari penganjur terdahulu dan perkara ini tidak digembar-gemburkan dan hingga sekarang PKBM tidak membantu apa-apa dalam hal ini.

"PKBM seharusnya menjadi pemudah cara bagi pihak penganjur dan bukannya menjejaskan imej di mana ia turut akan menjejaskan penajaan terhadap LTdL itu sendiri.

"HVSB sendiri melunaskan segala yuran penyertaan yang tinggi malah lebih tinggi daripada yang dikenakan oleh UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa ) oleh pihak PKBM selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah penganjuran HVSB, kelas kategori LTdL dinaikkan daripada status Hors Class (HC) kepada UCI ProSeries pada tahun 2020.

Ini adalah pencapaian yang besar dalam penganjuran dan hasil kejayaan itu dapat menarik minat pasukan World Tour Team untuk datang dan edisi lalu menghimpunkan enam pasukan handalan dunia untuk bertanding di LTdL.

Di pihak HVSB, mereka memahami situasi kementerian dalam menyelesaikan baki bayaran HVSB memandangkan situasi pasca pandemik serta penelitian dokumen menyebabkan ia mengambil masa sedikit dari segi pembayaran.

Disebabkan itu, HVSB mengambil langkah mendiamkan diri bagi menghormati perjanjian yang ada antara pihak HVSB dan juga pihak kementerian.

Penganjuran LTdL kini menjadi persoalan apabila UCI mengeluarkan perlumbaan berkenaan dari kalendar perlumbaan tahun ini.

Ia susulan tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:01 PM