LTdL 2023 dijangka akan kembali mengikut jadual. -FOTO NSTP
LTdL 2023 dijangka akan kembali mengikut jadual. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ada sinar di hujung terowong untuk perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) sudah membayar semua hutang yang tertunggak membabitkan pasukan bertanding sebelum ini.

Hal ini bermakna, LTdL mungkin akan kembali memeriahkan kalendar perlumbaan basikal negara sekali gus melegakan peminat sukan terbabit untuk menyaksikan jagoan dunia berentap di Malaysia.

Mengesahkan situasi terbabit Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, HVSB sudah menjelaskan semua hutang membabitkan lima pasukan dan perkara itu akan dimaklumkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam tempoh terdekat ini.

"Hutang untuk lima pasukan pada awalnya sudah bayar separuh dan kini sudah selesai semuanya tunggakan itu.

"Saya akan kumpulkan semua buktikan bayaran dalam jumlah RM1.5 juta dan hantar surat kepada UCI dalam tempoh terdekat ini.

"Pada masa sama, saya harapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Saya lihat tak ada masalah apabila sudah hantar surat kepada UCI," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan penganjuran LTdL kini menjadi persoalan apabila UCI mengeluarkan perlumbaan itu dari kalendar kejohanan tahun ini.

Ia susulan tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.

Situasi bertambah rumit apabila penganjur perlumbaan LTdL sebelum ini, HVSB mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada PKBM.

Perkara itu diambil susulan tindakan PKBM memberi kenyataan berhubung yang menjatuh imej HVSB.

Ketua Pegawai Operasi LTdL dari HVSB, Shahaizereen A Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang HVSB menganjurkan LTdL sebelum ini, tiada isu langsung berkaitan dengan hutang terhadap mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan juga sudah dibayar kepada pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 4:16 PM