ABU Samah. FOTO Syarafiq Abd Samad
ABU Samah. FOTO Syarafiq Abd Samad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak gentar jika penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) sebelum ini Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap badan induk berbasikal negara itu.

Hal ini kerana, menurut Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab, pihaknya sudah menyerahkan tanggungjawab menganjurkan LTdL kepada HVSB sekali gus tiada kaitan dengan segala masalah membelenggu penganjuran kejohanan itu.

"Saya tunggu jika mereka mahu saman sebab PKBM sudah beri 'right' (hak) kepada Human Voyage (M) Sdn Bhd dan kena cari sendiri penaja.

"PKBM tidak ambil keuntungan dan apa yang mereka dapat semuanya. Apa yang PKBM lakukan sekarang adalah akan hantar surat kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) berhubung penganjuran LTdL.

"Kita rugi sebab LTdL tiada lagi dalam kalendar…mungkin kena selesaikan semua hutang jika mahu anjurkan kejohanan itu. Sudah pastinya, UCSI ambil berat sebab ada pasukannya yang buat aduan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan penganjur perlumbaan LTdL sebelum ini, HVSB mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada PKBM.

Perkara itu diambil susulan tindakan badan induk berkenaan memberi kenyataan berhubung yang menjatuh imej HVSB.

Ketua Pegawai Operasi LTdL dari HVSB, Shahaizereen A Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang HVSB menganjurkan LTdL sebelum ini, tiada isu langsung berkaitan dengan hutang terhadap mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan juga sudah dibayar kepada pasukan.

Mengikut rekod, penganjuran LTdL kini menjadi persoalan apabila UCI mengeluarkan perlumbaan itu dari kalendar kejohanan tahun ini.

Ia susulan tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 12:03 PM