LTdL terpalit isu hutang penganjur sebelum ini.
LTdL terpalit isu hutang penganjur sebelum ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL), Emir Abdul Jalal tetap positif mampu mengembalikan kegemilangan perlumbaan LTdL 2023 biarpun terpalit dengan beberapa kontroversi membabitkan bebanan hutang yang ditinggalkan oleh penganjur sebelum ini.

Emir ketika ditemui berkata, beliau berdepan tugas berat untuk penganjuran kali ini kerana LTdL 2023 mewarisi sesuatu yang mempunyai kekurangan namun akan cuba sedaya upaya mengatasi masalah berkenaan.

Keyakinan disuarakan itu disebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipertanggungjawabkan selaku penganjur tahun ini mempunyai reputasi terbaik sehingga mendapat pengiktirafan anugerah 'Excellence Level of Organisation' oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

MSN sebelum ini berpengalaman menguruskan perlumbaan berprestij berkenaan dari 2012 hingga 2014 dengan ketika itu Emir menggalas tugas sama berjaya menarik enam pasukan ProTeam menyertai perlumbaan secara merit pada 2014.

Begitupun kali ini Emir mengakui, secara realistiknya ia bukan tugas mudah apabila berdepan dengan bajet tidak mencukupi selain mewarisi 'sesuatu' yang ditinggalkan penganjur sebelum ini.

"Kami sedang berusaha mendapatkan penajaan lebih besar dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan LTdL seperti satu ketika dulu. Kita perlu realistik dan bercakap berdasarkan realiti.

"Bajet yang diberikan (RM8 juta) sebenar tidak mencukupi kerana kos diperlukan sekitar RM14 ke 15 juta untuk mendapatkan LTdL berkualiti seperti mana diperlukan bagi standard perlumbaan ProSeries.

"Tapi seperti yang Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tegaskan sebelum ini, kami akan buat sebaik mungkin dan berusaha mendapatkan tambahan penaja bagi mengembalikan LTdL seperti dulu," katanya.

Emir menegaskan isu utama dalam penganjuran perlumbaan berstatus ProSeries adalah yuran penampilan yang mana penganjur perlu mendapatkan tiga pasukan dunia (UCI WorldTeam) dan tujuh pasukan profesional (UCI ProTeam),

Penganjuran tahun lalu di bawah Human Voyage (HV) Sdn Bhd terpalit dengan isu itu apabila semalam, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur LTdL 2022 kepada lima pasukan bertanding.

Abu Samah mendakwa, tunggakan itu melebihi RM1 juta membabitkan perkara seperti yuran penampilan dan tiket kapal terbang pasukan dan sekiranya tidak diselesaikan tahun ini, ia berkemungkinan menghalang UCI daripada menyenaraikan LTdL dalam kalendar perlumbaan tahun depan.

Emir yang berpengalaman luas dalam bidang ini berkata, dia kini sedang berusaha dan tetap optimis dapat menjayakan edisi kali ini meskipun sedang dalam usaha 'pujuk memujuk' dengan pasukan yang diklasifikasikan WorldTeam untuk menyertai LTdL 2023 yang kini belum dapat disahkan penyertaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:21 PM