NAIB Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill. FOTO FB DATUK AMARJIT SINGH GILL
NAIB Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill. FOTO FB DATUK AMARJIT SINGH GILL
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada apa perlu dibimbangkan apabila Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan diteruskan seperti dirancang biarpun ketika ini perlumbaan itu digugurkan dari laman web rasmi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Perkara itu disuarakan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill yang menyatakan dia akan menghadiri mesyuarat bersama UCI di Glasgow, dua hari lagi dan kesempatan itu akan memberi peluang untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai status LTdL.

"Saya akan ke Glasgow untuk mesyuarat pengurusan majlis dan Kejohanan Dunia. Saya akan periksa mengenai status LTdL kenapa tiada dalam kalendar UCI.

"Seperti yang Datuk Abu Samah (Wahab, Presiden PKBM) beritahu sebelum ini, UCI ada menulis beberapa hutang yang perlu dibayar dan kalau tidak, ia akan meninggalkan impak untuk pendaftaran 2024.

"Apapun, kita tunggu dan lihat. Saya pasti perlumbaan akan berlangsung. Ada atau tiada dalam kalendar, perlumbaan akan tetap diteruskan untuk 2023. Itu pasti," katanya.

Isu mengenai penganjuran LTdL menjadi persoalan apabila perlumbaan berstatus Proseries itu kini tiada dalam kalendar UCI sejak dua hari lalu.

Ia mungkin didorong dengan isu bebanan hutang yang ditinggalkan pengurusan terdahulu iaitu Human Voyage (M) Sdn Bhd.

Sehingga kini, bayaran hutang berkenaan masih belum diselesaikan.

Beliau berkata, jumlah itu tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur, namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.

Abu Samah ketika majlis pelancaran LTdL 2023 pada 4 Julai lalu mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta dan jika tidak ia akan memberi kesan kepada penganjuran untuk tahun 2024.

Bagaimanapun, kebimbangan itu hadir lebih awal apabila UCI seperti memberi amaran apabila menggugurkan LTdL dalam kalendar perlumbaan untuk tahun ini.

HV adalah penganjur LTdL 2022 selepas turut menganjurkan saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara itu bermula 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 9:30 PM