HANNAH beramah mesra dengan pemain hoki bawah 12 tahun di RSC, sebentar tadi. FOTO FERZALFIE FAUZI
HANNAH beramah mesra dengan pemain hoki bawah 12 tahun di RSC, sebentar tadi. FOTO FERZALFIE FAUZI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin isu penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Malah, ruang diberikan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi membincangkan perkara berkenaan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, mereka sekarang ini menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan maklumat berkenaan perkara itu daripada kedua-dua pihak terbabit.

"Mengenai penganjuran LTdL ini, MSN tengah berbincang dengan persatuan dan saya fikir Datuk Amarjit Singh (Naib Presiden PKBM) ada memberitahu akan membincangkan perkara ini dengan badan induk antarabangsa (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) untuk tengok bagaimana mereka menyelesaikan isu ini," kata Hannah.

Ujarnya, isu yang berlaku ini bukan perkara baharu dan sudah lama wujud.

"Saya percaya MSN dan PKBM akan cari jalan untuk selesaikan isu ini dalam beberapa hari lagi. Ini bukan perkara baru, sudah wujud sebelum ini, tunggu MSN dan PKBM untuk selesaikan.

"Jangan risau, kita akan selesaikan perkara ini satu per satu. Sekarang PKBM akan menguruskannya," kata Hannah ketika ditemui media di kejohanan hoki kerjasama antara Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Kelab Diraja Selangor (RSC), sebentar tadi.

Hari ini, penganjur perlumbaan LTdL sebelum ini, Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada PKBM.

Perkara itu diambil susulan tindakan badan induk berkenaan memberi kenyataan yang menjatuh imej HVSB.

Ketua Pegawai Operasi LTdL dari HVSB, Shahaizereen A Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan, sepanjang HVSB menganjurkan LTdL sebelum ini, tiada isu langsung berkaitan dengan hutang terhadap mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan sudah dibayar kepada pasukan.

Sementara itu, ditanya mengenai isu keganasan bola sepak di final Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Hannah berkata, perkara itu perlu menunggu siasatan pihak polis.

"Saya fikir kita ada Kod Sukan Selamat dan ia untuk pastikan keselamatan dalam sukan diambil kira. Kita tidak tahu siapa salah, tunggu siasatan polis," katanya.

Dalam pada itu, KBS menyambut baik kolaborasi antara MHC dan RSC untuk menganjurkan kejohanan hoki.

"Lagi satu apa yang saya suka penganjuran ini, ia ikut generasi apabila kanak-kanak bawah 12 tahun boleh tengok kategori terbuka dan pemain kategori terbuka boleh bagi sokongan kepada kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 7:19 PM