Keadaan  kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kebakaran tapak pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan, di sini, menyebabkan dua keluarga membabitkan 11 penghuni terpaksa berpindah kerana bimbang dengan tahap kesihatan mereka.

Penduduk mendakwa kebakaran yang bermula sejak Jumaat lalu mengakibatkan kawasan berkenaan diselubungi asap tebal hingga menganggu rutin harian mereka.

Pekerja am, SuriaOthman, 44, berkata dia bersama suami dan tiga anaknya berpindah ke penempatan sementara yang disediakan sejak Sabtu lalu.

Katanya, asap tebal mula menyelubungi kawasan kediaman mereka terutamanya pada waktu petang.

"Sudah empat malam saya dan keluarga bermalam di rumah sementara disediakan kerana tidak tahan menghidu bau asap tebal.

"Bukan itu sahaja, asap tebal turut menjejaskan kesihatan suami dan anak-anak yang mula mengadu sakit dada dan mengalami batuk-batuk sejak beberapa hari lalu," katanya.

Situasi sama turut dialami Zulkifli Salleh, 54, yang turut berpindah ke rumah kongsi tempat dia bekerja bersama ahli keluarganya termasuk cucu berusia satu tahun.

Menurutnya, kebakaran itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian mereka sekeluarga tetapi turut menjejaskan mata pencarian anaknya selepas tempat pelupusan sampah itu ditutup.

"Asap tebal daripada kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah itu bertambah buruk pada sebelah petang dan berlarutan selama beberapa jam sehingga mengehadkan jarak penglihatan.

"Jadi saya ambil keputusan pindah ke rumah kongsi kerana risau tahap kesihatan cucu merosot lebih-lebih lagi mereka ada sejarah penyakit lelah," katanya.

Terdahulu, operasi memadam lebih 75 peratus kebakaran di tapak pelupusan sampah terbabit dipercayai akibat impak cuaca panas sedang giat dijalankan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan 'As'ari Omar berkata, kebakaran membabitkan lebih enam daripada lapan hektar pusat pelupusan sampah itu dikesan sejak Jumaat lalu.

Ketika ini, usaha pemadaman itu giat dijalankan pasukan bomba serta agensi yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:31 PM