EMIR lega semuanya sudah selesai. FOTO NSTP
EMIR lega semuanya sudah selesai. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 Emir Abdul Jalal akhirnya boleh menarik nafas lega apabila segala isu membabitkan hutang dan tunggakan kepada pasukan bertanding sebelum ini sudah diselesaikan.

Emir berkata, beliau yakin terhadap kredibiliti Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) berdasarkan kepada sejarah penganjuran LTdL beberapa tahun lalu yang tidak pernah berhadapan masalah tunggakan pembayaran.

Beliau berkata, fokus kini sudah beralih kepada persediaan untuk mengharungi perlumbaan berkenaan dengan memastikan pasukan bertaraf World Tour dan Pro Tour menyertai kejohanan itu kelak.

"Saya yakin HVSB boleh membuat pembayaran semua tunggakan itu kerana sebelum ini mereka sudah banyak kali menganjurkan LTdL dan tidak pernah berhadapan masalah dengan pembayaran kepada pasukan.

"Pada masa sama, saya juga lega semuanya sudah selesai dan kita boleh 'pandang ke depan' dengan memberi tumpuan pada penganjuran LTdL musim ini.

"Boleh saya katakan, sebenarnya tidak boleh tidur malam memikirkan masalah ini kerana pasukan World Tour tak mahu sertai perlumbaan LTdL kerana berdepan masalah tunggakan itu," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan penganjuran LTdL kini menjadi persoalan apabila UCI mengeluarkan perlumbaan itu dari kalendar kejohanan tahun ini.

Ia susulan tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.

Namun, semalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) HVSB sudah membayar semua hutang yang tertunggak membabitkan pasukan bertanding sebelum ini.

Hal ini bermakna, LTdL mungkin akan kembali memeriahkan kalendar perlumbaan basikal negara sekali gus melegakan peminat sukan terbabit untuk menyaksikan jagoan dunia berentap di Malaysia.

Mengesahkan situasi terbabit Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, HVSB sudah menjelaskan semua hutang membabitkan lima pasukan dan perkara itu akan dimaklumkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam tempoh terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 1:31 PM