Datuk Halim Kader
Datuk Halim Kader
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menegaskan bahawa mereka tidak pernah menghalang Persatuan Sepak Takraw (PSM) untuk menganjurkan kejohanan Liga Sepak Takraw (STL).

Namun menegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang yang sudah termaktub dalam perlembagaan Astaf.

Presiden Astaf, Datuk Halim Kader berkata, tindakan pihaknya adalah untuk memberi pengajaran kepada semua pihak untuk mematuhi undang-undang kerana ia mencerminkan masa depan sukan itu.

"Saya dan keluarga Astaf tidak pernah sesekali untuk menghalang STL dari berlangsung.

"Tapi apa yang ingin saya katakan di sini adalah untuk mereka (PSM) betulkan dulu masalah rumah tangga dan selesaikan dulu kemelut kepimpinan.

"Selepas segala selesai, Astaf tiada masalah untuk menerima PSM kembali dalam badan induk ini," katanya.

Terdahulu Astaf mengeluarkan arahan menghalang kesemua pengadil di bawah Astaf dan pengadil Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) turut tidak dibenarkan mengadili saingan STL yang dijadualkan berlangsung mulai 7 Januari hingga 27 Mac 2022.

Selain itu mereka turut tidak membenarkan pembabitan pemain import di kejohanan berkenaan dengan Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) mengesahkan keempat pemain dari negara berkenaan tidak akan menyertai STL.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira notis amaran dikeluarkan Astaf baru-baru ini yang melarang pemainnya mewakili pasukan di kejohanan berkenaan.

Setiausaha Agung TAT, Tanawat Prasongcharoen dalam satu surat balas kepada Astaf memaklumkan, dua pemain yang bersama Kelab Sepak Takraw Tentera Laut iaitu Swatbanchan Seekhwa dan Aekasit Naphom tidak akan menyertai STL 2022.

Prasongcharoen turut menjelaskan, Anuwat Sombatdee dan Kupithat Khatmimalan menarik diri daripada kejohanan dan kesemua pemain itu memahami 'halangan' dikeluarkan badan induk Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 4:54 PM