PSM boleh anjurkan STL.
PSM boleh anjurkan STL.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak mempunyai hak untuk menghalang penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) bulan depan biarpun ia dianjurkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

PJS, Ibrahim Mohd Yusof menjelaskan biarpun PSM tidak lagi di bawah Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), PSM masih boleh menganjurkan kejohanan di Malaysia seperti STL.

Begitupun Astaf mempunyai hak ke atas pengadil atau mana-mana pemain yang dilesenkan oleh Astaf untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan khususnya kejohanan antarabangsa di bawah Astaf ataupun Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

"Astaf memang mempunyai kuasa menghalang pengadil atau pemain untuk tidak menyertai kejohanan yang diiktiraf oleh badan induk itu. Namun PSM mempunyai hak untuk anjurkan kejohanan di Malaysia dan masih boleh gunakan pengadil lain yang tidak dilesenkan oleh Astaf.

"Jadi tiada masalah untuk meneruskan penganjuran STL," katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim menegaskan terpulang kepada PSM untuk meneruskan penganjuran atau sebaliknya mengikut budi bicara mereka.

Terdahulu Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pengadil Astaf pada 1 Disember lalu untuk tidak terbabit dalam kejohanan berkenaan.

Larangan berkenaan berdasarkan Artikel 5 (2), (4) & (10) Perlembagaan Astaf yang turut membabitkan peraturan permainan, proses pengendalian pertandingan, spesifikasi kemudahan dan peralatan sukan, pelesenan kakitangan teknikal termasuk pengadil serta jurulatih yang turut berada dalam Artikel 11 Perlembagaan.

Ia berlaku selepas Astaf menyingkirkan PSM pada 20 Mei 2021 yang mana keputusan itu turut melucutkan hak dan keistimewaan badan gabungan Astaf termasuk hak penganjuran kejohanan atau acara sepak takraw baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:44 PM