Datuk Markiman Kobiran
Datuk Markiman Kobiran
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran melihat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sekali lagi cuba untuk melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Ia susulan kehadiran bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang hadir ke upacara perasmian Liga Sepak Takraw (STL) awal bulan lalu.

Markiman berkata, kehadiran Ahmad menjadi persoalan kerana ia dilihat melanggar hukuman yang dikenakan.

"Biarpun ia sudah lebih dua minggu tapi ia menjadi persoalan sebab hukuman penggantungan yang dikenakan itu tidak membenarkannya menyertai sebarang aktiviti sukan itu di peringkat tempatan atau antarabangsa.

"Dia (Ahmad) dijemput hadir sebagai tetamu khas tapi yang saya tahu sesiapa yang digantung oleh badan induk seperti Astaf tak boleh dijemput atau terbabit dalam sebarang acara yang dianjurkan.

"Jadi saya lihat PSM masih lagi berdegil dan cuba untuk melanggar hukuman. Hukuman dan peraturan perlu dipatuhi," katanya.

Markiman berkata, apa yang bermain di fikirannya ketika ini, adakah perkara itu dibenarkan oleh Astaf.

Justeru beliau berharap, Astaf melihat salah laku yang dilakukan oleh PSM yang menjemput Ahmad sebagai presiden yang digantung terbabit dalam sepak takraw negara.

Pada tahun lalu, Ahmad atau dikenali sebagai 'Tok Mat' dikenakan penggantungan oleh Astaf selama 15 tahun sebelum ia ditambah dua tahun lagi kerana gagal melunaskan kos perbicaraan tatatertib.

Hukuman itu juga melarang Ahmad membabitkan diri dalam aktiviti sepak taktaw selaku pemain, jurulatih, pegawai di peringkat tempatan dan antarabangsa di sepanjang tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 4:09 PM