Aksi pemain takraw dalam STL sebelum ini. FOTO STL
Aksi pemain takraw dalam STL sebelum ini. FOTO STL
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) meluluskan permintaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) agar empat pemain import Thailand dapat beraksi di Liga Sepak Takraw (STL).

Menurut Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader, mereka ingin mengumumkan bahawa Persatuan Takraw Thailand (TAT) sudah menerima rayuan mereka untuk membenarkan empat pemain sepak takraw Thailand beraksi di STL.

"Rayuan ini diluluskan oleh TAT hari ini di mana Timbalannya Presiden Boonchai Lohrpipat sudah memaklumkan secara rasmi kepada saya," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagaimanapun, TAT sudah menyenaraikan beberapa syarat bagi membolehkan keempat-empat pemain itu iaitu Anuwat Sombatdee (Perak Bison), Swatbanchan Seekhwa (Johor Tigris), Aekasit Naphom (Penang Black Panthers) dan Kupithat Khatmimalan (BombaFighters) boleh beraksi di kejohanan yang berlangsung dari 7 Januari hingga 26 Mac.

Antara syarat berkenaan ialah negara tuan rumah harus memohon Pas Pekerja Imigresen Malaysia bagi membolehkan pemain berkenaan bermain dan tinggal di Malaysia.

Selain itu persatuan dan kelab sepak takraw negeri yang memutuskan untuk menggunakan khidmat keempat-empat pemain dari negara berkenaan harus menyediakan insurans individu untuk kemalangan dan kemasukan ke hospital termasuk setiap insurans perjalanan.

Kontrak juga hendaklah ditandatangani antara persatuan dan kelab sepak takraw negeri dan pemain import berkenaan sambil disaksikan oleh wakil masing-masing.

Jika pemain berkenaan berusia bawah 18 tahun ketika kontrak ditandatangani pemain berkenaan harus mendapat kelulusan daripada ibu bapa atau penjaga.

Manakala syarat terakhir ialah gaji yang ditawarkan kepada pemain mestilah berpatutan seperti yang dipersetujui antara pemain, persatuan dan kelab sepak takraw negeri.

"Sebagai Prsiden Astaf dengan ini saya memberikan kelulusan kepada keempat-empat pemain berkenaan beraksi di STL," kata Abdul Halim.

Bulan lalu Astaf mengeluarkan amaran tegas kepada pemain import agar tidak menyertai mana-mana pasukan beraksi di STL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:51 PM