ASTAF mengambil keputusan untuk menarik semula pelantikan semua pegawai sepak takraw Malaysia yang terbabit dengan PSM sebelum ia digantung.  FOTO Ihsan Astaf
ASTAF mengambil keputusan untuk menarik semula pelantikan semua pegawai sepak takraw Malaysia yang terbabit dengan PSM sebelum ia digantung. FOTO Ihsan Astaf
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) menarik kembali perlantikan lapan pegawai dari Malaysia yang terbabit dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi mengelak timbulnya masalah lain terutama berkaitan undang-undang.

Astaf dalam kenyataannya memaklumkan bahawa, pihaknya memantau perkembangan penyelesaian krisis PSM yang kini dalam usaha mencari titik noktah oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, Astaf mengambil keputusan untuk menarik semula pelantikan semua pegawai sepak takraw Malaysia yang terbabit dengan PSM sebelum ia digantung.

"Keputusan ini penting dalam memastikan tiada implikasi undang-undang atau berat sebelah apabila penyelesaian itu mungkin akan membabitkan individu-individu ini.

"Pada masa yang sama, Astaf turut berhasrat untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang pakar dan berpengalaman luas dalam bidang perundangan sukan, etika dan integriti, perakaunan, pentadbiran serta strategik dalam usaha membawa sepak takraw ke peringkat Olimpik dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Lapan individu berkenaan adalah membabitkan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Astaf, Syed Azmir Syed Ahmad, Tengku Adnan Tengku Bahanudin (Naib Pengerusi , Jawatankuasa Teknikal Astaf) Syed Hussain Syed Abu Bakar (Anggota Jawatankuasa Teknikal, Astaf) dan Mohs Ghazali Bidin (Anggota Jawatankuasa Kejurulatihan Astaf).

Selain itu, turut menerima tempias adalah Timbalan Setiausaha, Jawatankuasa Pengadil Astaf, Zubir Shaari, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Astaf, Rohaizad Ismail, Zaifilla Farina Zainuddin selaku Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Wanita Astaf dan Tengku Shahril Tengku Dahlan yang memegang jawatan Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pengadil Astaf.

Terdahulu, Astaf pada 28 April lalu turut mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Dalam surat tunjuk sebab kepada PSM, badan induk sukan sepak takraw Malaysia itu turut didakwa melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif Astaf serta organisasi Astaf secara keseluruhan berdasarkan kenyataan Ahmad mengenai pemilihan Astaf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:32 PM