ANTARA aksi STL musim lalu. FOTO STL
ANTARA aksi STL musim lalu. FOTO STL
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memutuskan untuk tetap menganjurkan Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) biarpun menerima tentangan daripada Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua pandangan termasuk larangan penggunaan pengadil tempatan dan pemain import di bawah naungan Astaf.

Akramuddin menjelaskan larangan berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan penganjuran pertandingan berikutan negara masih lagi mempunyai barisan pengadil kebangsaan yang mencukupi.

"Bagi saya tidak timbul isu penggunaan pengadil atau pemain import. Apa yang penting STL perlu diteruskan.

"Mengenai pemain import pula perkara itu sudahpun dimaklumkan sebelum ini bahawa mereka yang menyertai STL bukan terdiri daripada pemain kebangsaan negara mereka.

"Mereka adalah pemain kelab yang menerima sokongan daripada majikan untuk beraksi di STL, jadi saya rasa perkara itu bukan satu isu yang menjadi halangan kepada penganjuran STL," katanya.

Akramuddin memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat daripada Astaf berhubung larangan untuk tidak membenarkan 31 pengadil dari Astaf dan Istaf terbabit dengan STL.

Malah Astaf turut mengeluarkan notis amaran kepada Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) supaya tidak membenarkan pemain menyertai STL kerana PSM disingkirkan daripada badan naungan itu pada 20 Mei lalu.

Jika ingkar, TAT berdepan hukuman penggantungan maksimum sehingga seumur hidup atau didenda AS$10,000 (RM41,951) atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan Akramuddin memaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahun (AGM) akan berlangsung pada 12 Februari depan.

Ia bakal memilih siapakah peneraju baru badan induk itu selepas Datuk Seri Ahmad Ismail meletakkan jawatan Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:41 PM