POAD bersama Khairul Hafiz.
POAD bersama Khairul Hafiz.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mempunyai misi yang perlu dilunaskan oleh beliau selepas memilih untuk meninggalkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan berhijrah ke Perak.

Perjuangannya untuk melahirkan lebih ramai atlet berkualiti tidak akan terhenti, malah dengan sokongan dan dokongan daripada Majlis Sukan Negeri Perak (MSNP), Poad yakin beliau mampu melaksanakan tugas melahirkan lebih ramai pelari yang boleh menggegarkan negara.

Justeru beliau mengharapkan 2022 akan memberi sinar baharu kepada sukan olahraga dalam memacu kegemilangan di persada antarabangsa.

"Tugas saya untuk melahirkan lebih ramai atlet tidak akan terhenti biarpun saya sudah berhijrah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat. Sebenarnya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Exco Pendidikan Perak, Ahmad Saidi dan Exco Belia dan Sukan Perak, Khairul Shahril yang memberi perhatian penuh kepada usaha mengembangkan lagi sukan olahraga di negara ini.

"Banyak bantuan yang diberikan antaranya peruntukan kewangan untuk pembelian alatan latihan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet olahraga Perak sebagai persiapan atlet ke Sukma (Sukan Malaysia 2022).

"Terima kasih juga kepada Johari Sham selaku Pengarah MSNP serta Mior Shahriman selaku Ketua Pembangunan Atlet MSNP yang menguatkan lagi kerjasama dengan pasukan olahraga dalam usaha kami melahirkan lebih ramai lagi atlet dari Perak," katanya.

Impak Poad dalam sukan olahraga negara tidak dapat dinafikan selepas beliau berjaya menamatkan penantian 14 tahun negara untuk merangkul emas di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 menerusi Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.38 saat.

Khairul Hafiz sebelum itu turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dalam acara riben biru itu ketika temasya Sukma Sarawak 2016 dengan catatan 10.18s memadamkan catatan 10.30s milik Watson.

Lebih gemilang, Poad turut berjaya mengekalkan pingat itu menerusi Haiqal Hanafi yang meraih emas di temasya Sukan Sea Filipina selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 9:37 PM