POAD (tengah) pernah melahirkan jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan (kiri). FOTO Osman Adnan
POAD (tengah) pernah melahirkan jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan (kiri). FOTO Osman Adnan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad olahraga Perak mengharapkan sentuhan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim untuk merealisasikan sasaran pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Kehadiran Poad yang berpindah ke Perak daripada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) sebelum ini memberi perkhabaran gembira buat Presiden Olahraga Perak, Datuk Karim Ibrahim.

Karim ketika ditemui berkata, beliau yakin akan kemampuan Poad untuk melahirkan lebih ramai atlet pecut dari Perak yang boleh mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

"Saya rasa bangga Poad ada di Perak. Kita ada atlet pecut handalan di Perak dan saya rasa Poad boleh bantu Perak lahirkan lebih ramai lagi atlet pecut.

"Saya yakin dengan kemampuan Poad dan hingga kini saya masih berhubung dengan beliau untuk mengetahui keadaan terkini dan latihan yang dilakukan di Perak," katanya.

Karim menegaskan, skuad olahraga Perak masih kekal dengan sasaran tiga hingga lima pingat emas namun semua itu bergantung kepada syarat baru Sukma.

"Sekiranya tiada sebarang perubahan berhubung syarat penyertaan yang mana atlet yang sudah berdaftar untuk Sukma Johor dibenarkan bertanding pada Sukma akan datang, Perak akan kekal dengan sasaran tiga hingga lima pingat.

"Tapi jika sebaliknya sasaran itu mungkin ada sedikit perubahan," katanya.

Antara atlet yang berpotensi menghadiahkan emas adalah pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam acara 100 meter (m), Nurul Ashikin Abad (lompat kijang) dan Ngu Jia Xin (lompat tinggi).

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan jawatankuasa tertinggi Sukma bersetuju agar penganjuran Sukma 2022 oleh negeri Johor ditangguhkan kepada 2024.

Bagaimanapun Sukma 2022 dan Sukan Para Sukma 2022 akan tetap dilangsungkan di bawah pengelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur yang mana tarikh penganjurannya masih belum diputuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 5:30 PM