AZEEM (kiri) pernah berdepan situasi itu di temasya Sukan Sea Hanoi Mei lalu. FOTO AFP
AZEEM (kiri) pernah berdepan situasi itu di temasya Sukan Sea Hanoi Mei lalu. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Belum cukup sempurna. Itu antara yang perlu diberi penekanan oleh barisan pelari pecut negara yang mana 'false start' masih lagi berlaku dikalangan atlet negara.

Kesilapan di blok permulaan bukan satu yang asing malah ia turut menghantui pelari handalan dunia yang lain.

Persoalannya bagaimana untuk menghalang ia berlaku terutama ketika berlangsung di peringkat akhir di mana pelari ini mempunyai peluang yang cerah menghadirkan emas buat negara.

Antara atlet yang pernah berdepan situasi itu adalah pemegang rekod baru acara 100m Muhammad Azeem Fahmi ketika di temasya Sukan Sea Hanoi Mei lalu.

Malah bekas pemegang rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan turut berdepan situasi yang sama ketika Kejohanan Olahraga Asia di India pada 2017.

Bekas pelari pecut negara Watson Nyambek turut melakukan kesalahan sama pada penyertaan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 dan mangsa terbaru adalah Muhammad Arsyad Md Saat di Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turkiye.

Bagi jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim berkata, antara faktor yang dikenal pasti apabila atlet melakukan kesalahan itu adalah kesilapan teknikal di blok permulaan.

Katanya, latihan ujian sudah dibuat untuk membantu atlet namun terdapat beberapa faktor lain yang mendorong perkara itu berlaku antaranya psikologi.

"Kadang-kadang atlet berasa gemuruh dan gagal untuk mengawal keadaan mendorong untuk mereka melakukan kesalahan itu.

"Sebagai contoh Arsyad ketika di Konya dia berada di prestasi terbaik untuk atasi masa terbaiknya dalam acara 200m (meter) 20.95s yang dilakukan di Sukan Sea tapi akhirnya dia false start.

"Sebelum pergi ke Konya mereka sudah melakukan latihan dan ujian dengan sistem Innotex di Bukit Jalil dan semuanya berjalan dengan baik dan tidak dinafikan sistem itu banyak membantu pelari negara agar tidak mengulangi kesilapan berkenaan," katanya.

Sementara itu Poad turut berpuas hati dengan prestasi dua pelari pecut negara iaitu Khairul Hafiz dan juga pemenang emas 100m Sukan Sea 2019, Muhammad Haiqal Hanafi yang dilihat mula menemui kembali rentak masing-masing.

Biarpun catatan masa belum cukup memuaskan namun ada memperlihatkan peningkatan dari segi catatan masa.

"Secara keseluruhannya saya puas hati dengan prestasi Khairul dan Haiqal. Mereka dapat kembali rentak larian seperti dulu.

"Sekarang ini perlu ada perancangan ke hadapan agar mereka dapat sertai pertandingan yang lebih kompetitif," katanya.

Pada aksi di Konya itu, Khairul mencatatkan masa terbaik 10.26s manakala Haiqal merekodkan 10.12s ketika saringan.

Haiqal dijadualkan akan berdepan saingan sebenar di temasya Sukan Malaysia (Sukma) September ini dengan membabitkan pertarungan bersama Azeem yang memiliki catatan terbaik 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 9:31 PM