KARIM (kiri) kelmarin mengesahkan rekod Badrul tidak sah.
KARIM (kiri) kelmarin mengesahkan rekod Badrul tidak sah.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Prestasi pelari pecut negara Badrul Hisyam Abdul Manap diyakini akan kembali ke puncak sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Julai ini.

Selepas terpalit dengan kontroversi membabitkan isu rekod 100 meter, jurulatih Mohd Poad Md Kassim berkata, emosi Badrul sedikit terganggu namun sudah dapat diatasi.

Justeru beberapa perancangan sudah dirangka buat Badrul dalam usahanya kembali bergelar pemegang rekod 100m negara.

“Memang sudah ada perancang untuk Badrul dan saya berharap MSN (Majlis Sukan Negara) dapat memberi bantuan sepenuhnya dari segi pertandingan.

“Satu perbincangan sudah dijalankan dengan pegawai MSN dan saya berharap apa yang dirancang itu berjalan mengikut perancangan agar Badrul dapat memecahkan rekod 100m sebelum SUKMA,” katanya.

Selepas kejohanan Terbuka Perak dianjakkan ke bulan Mac, Badrul dijangka mula beraksi di kejohanan Terbuka Pahang bermula pada 5 hingga 6 Mac sebelum menyertai Terbuka Taiwan (Mei) dan Asian Junior (Jun).

Justeru Poad berharap kejadian yang berlaku sebelum ini dijadikan iktibar oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memantau sepenuhnya setiap kejohanan mengikut syarat ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Mengulas mengenai kontroversi rekod 100m itu, Poad berkata perkara berkenaan mematangkan Badrul.

“Saya yakin apa yang terjadi akan mematangkan Badrul. Selepas ini pastinya dia akan berfikir dan bertindak dengan lebih matang dalam mengejar impiannya menjadi atlet yang berjaya satu hari nanti,” katanya.

Rabu lalu ahli majlis KOM sebulat suara memutuskan Watson Nyambek kekal pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.30 saat.

Keputusan itu menamatkan persoalan berhubung siapakah sebenarnya pemegang rekod 100m selepas Badrul mencatatkan 10.29s ketika beraksi di Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei, November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:05 AM