BADRUL dijulang keluarga selepas tiba di KLIA.
BADRUL dijulang keluarga selepas tiba di KLIA.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih Badrul Hisyam Abdul Manap, Mohd Poad Md Kassim akan melakukan apa saja bagi memastikan kerjaya anak didiknya itu tidak terhenti selepas ini termasuk membenarkan pelari itu berlatih di pusat latihan olahraga negara di Bukit Jalil.

Bagaimanapun kebenaran itu bersyarat iaitu sekiranya ada jurulatih yang mampu memperbaiki catatan masa yang dilakukannya setakat ini iaitu 10.29 saat.

Tegas Poad, beliau cukup mengenali peribadi Badrul yang mula dibimbingnya sejak berusia 10 tahun justeru lebih baik jika Badrul terus kekal bersamanya di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan SSTMI adalah tempat paling sesuai buat atlet remaja berbakat itu.

Beliau bukan setakat melahirkan Badrul namun beberapa atlet lain seperti pemenang perak 100m dan 200m temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, Asnawi Hashim dan Mohd Haiqal Hanafi.

“Badrul bersama saya sejak usianya 10 tahun dan saya amat mengenalinya. SSTMI tempat paling sesuai buat dirinya dan beberapa atlet lain kerana tiada gangguan di sana.

“Namun saya perlukan bantuan tambahan kepakaran daripada ISN (Institut Sukan Negara) yang boleh membantu meningkatkan lagi prestasi selain bantuan pakar pemakanan dan psikologi,” katanya.

Kejayaan Badrul yang menyambung pelajaran pra-Universiti di SSTMI mencipta rekod baru 100 meter 10.29s memadamkan rekod 17 tahun milik Watson Nyambek mencetus fenomena baru dalam sukan olahraga negara mendorong Poad untuk merangka strategi latihan lebih berkesan buat Badrul selepas ini termasuk memohon kepakaran biomekanikal.

Katanya, beliau cukup mengenali Badrul dan tahu bagaimana pendekatan perlu dipratikkan bagi menggelakkan dia berdepan tekanan selain terus konsisten melakar catatan terbaik.

Mengulas mengenai kejayaan Badrul di Brunei, Poad berkata, beliau memang yakin Badrul akan melakar sesuatu di sana berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketika latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 7:12 AM