JONATHAN (kanan) ketika acara olahraga 200m lelaki akhir pada SUKMA Sarawak.
JONATHAN (kanan) ketika acara olahraga 200m lelaki akhir pada SUKMA Sarawak.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang pingat perak temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Jonathan Nyepa tetap dengan keputusan untuk terus kekal bersama jurulatihnya M Balamurugan.

Namun, dia tidak menolak untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih yang berjaya membawa atlet Khairul Hafiz Jantan memecahkan rekod 100m yang berusia 18 tahun, Mohd Poad Md Kassim.

Katanya, berdasarkan perbincangan dengan jurulatih Balamurugan, sesi latihan bersama Poad akan dilakukan secara bergilir-gilir untuk tempoh dua hingga tiga minggu andai itu yang diperlukan untuk memantapkan kuartet 4x100m negara bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos nanti.

“Mengikut perbincangan sebelum ini, saya akan bersama Poad untuk tempoh tertentu dan tidak akan berlatih secara tetap dengannya.

“Apapun sekarang ini fokus utama adalah untuk cuba melayakkan diri ke Sukan SEA terlebih dulu dengan Kejohanan Terbuka Malaysia akan menjadi fokus utama,” katanya.

Jonathan berada dalam senarai atlet pecut terbaik untuk diserapkan ke dalam kuartet pecut negara selepas meraih perak di SUKMA Sarawak yang lalu dengan Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk meraih sebutir pingat dalam acara berganti-ganti itu berdasarkan catatan masa yang dilakarkan atlet negara.

Pada temasya Sukan SEA yang lalu, kuartet negara yang terdiri daripada Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan masa 39.67saat.

Namun catatan itu tidak cukup menjanjikan pingat buat negara dalam acara yang dikuasai barisan atlet Thailand Ruttanapon Sowan, Aphisit Promkaew, Jirapong Meenapra dan Jaran Sathoengram yang merekodkan 38.99s.

Bagaimanapun, kebangkitan serta persaingan sengit yang dipamerkan atlet pecut negara di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia April ini mungkin memberi sinar baru andai percaturannya mengena.

Terbuka Malaysia akan menjadi medan penentu atlet pecut terbaik negara dan ulangan acara akhir 100m di SUKMA yang mana kesemua atlet pecut terbaik negara bakal beraksi termasuk Khairul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:27 AM